Isnin, 10 Disember 2018

WAJAR BUBAR BN-PENGANALISIS


Gabungan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) wajar dibubarkan berikutan perjuangan UMNO yang kini lebih fokus kepada agenda Melayu dan Islam.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohammed berkata tuntutan MCA dalam perhimpunan agung tahunannya kali ke 65 lalu wajar dipertimbangkan dengan melihat kepada situasi politik terkini.

“Bagi saya mengikut perkembangan semasa sesuai ia dibubarkan kerana kita bila UMNO mendekati PAS dan bergerak secara formal, maka secara tidak langsung MCA melihat BN sudah tidak relevan dalam konteks perjuangan parti mereka.

“Mungkin satu masa nanti MIC juga akan menuntut perkara yang sama (bubar BN) apabila melihat UMNO semakin gencar bergerak bersama PAS dalam isu-isu yang diperjuangkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha yang juga Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa itu berkata UMNO juga perlu mengkaji semula keselarian perkembangan perjuangan UMNO dengan agenda BN.

Menurut beliau, perjuangan UMNO yang kini mengutamakan kebajikan Melayu dan Islam berbanding keperluan kebajikan seluruh masyarakat juga menjadikan UMNO seolah-olah tidak relevan dalam BN.

“Jika kita lihat selepas Pilihan Raya Umum ke- 14, UMNO kini lebih tertumpu kepada perjuangan bersifat menjaga kebajikan orang Melayu berbanding untuk menjaga kebajikan semua seperti mana sebelum ini.

“Kalau sebelum ini kita lihat UMNO dalam nada dan percakapan menyatakan bahawa perlunya wujud kebajikan masyarakat berbilang kaum tapi pada hari ini kita lihat agenda perjuangan umno lebih bersifat menjaga kebajikan Melayu sahaja.

“Jadi secara tidak langsung kedudukan UMNO dalam BN juga sudah tidak relevan kerana perjuangan mereka sudah tidak sehaluan dengan perjuangan BN yang memperjuangkan hak kesaksamaan dan perjuangan semua kaum,” katanya ketika dihubungi Watan Online pada Ahad.

Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam Perhimpunan Agung MCA kali ke 65 mahu BN dibubarkan.

Menurut Ka Siong, kesepakatan tiga parti komponen utama BN diperlukan untuk tujuan pembubaran.
UMNO, MCA dan MIC merupakan parti komponen utama yang membentuk Perikatan dan berjuang menuntut kemerdekaan negara pada 1957.

Perikatan kemudian dinamakan semula sebagai Barisan Nasional pada 1973 berikutan penambahan parti-parti lain dalam gabungan itu.

Gabungan tersebut memerintah negara sejak mencapai kemerdekaan sehingga hilang kuasa selepas tewas kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh mantan Pengerusi BN, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

BN yang mempunyai 13 parti komponen sebelum PRU-14 kini kembali berbaki tiga iaitu UMNO, MCA dan MIC.


Tiada ulasan: