Rabu, 26 Disember 2018

Tindakan lelaki maki Hadi sungguh memalukan


Shawaliah Hadir



xMGF18112017_SeragMemorandum004-681x454
Senator Khairul Azwan Harun


KUALA LUMPUR – Melontarkan kata-kata kesat kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sesi dialog yang berlangsung di London adalah perbuatan yang sungguh memalukan.

Kata Senator Dewan Negara, Khairul Azwan Harun, sekalipun tidak bersetuju namun pandangan sebaiknya dilontarkan dengan cara yang harmoni, melambangkan keperibadian rakyat Malaysia.

“Kita mungkin tidak bersetuju dengan Tuan Guru Hj Hadi, tapi rakyat Malaysia boleh buat lebih baik dari ini.

“Walaupun tidak bersetuju dengan seseorang, tetapi sikap seperti ini menunjukkan perangai bukan rakyat Malaysia. Sungguh memalukan,”katanya menerusi ciapan di Twitter.

Khairul dalam masa yang sama melampirkan video menunjukkan seorang lelaki yang dilaporkan bernama Ben Singh bertindak biadap menyerang dan memaki Hadi di hadapan hadirin dalam sesi dialog bersama penuntut di London.

Ciapannya itu turut di ‘Retweet’ oleh Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Lelaki itu bukan sahaja melontarkan kata-kata kesat malah menggelarkan Hadi sebagai rasis dan masih di bawah tempurung apabila merujuk kepada insiden 13 Mei 1969 yang tercetus akibat ketegangan kaum untuk menegakkan hujah pendirian parti itu yang menentang pilihan raya kerajaan tempatan.

Bagaimanapun Hadi tetap tenang dan menjawab soalan yang dikemukakan iaitu Pas menolak cadangan DAP dan PKR untuk mengadakan pilihan raya tersebut kerana ia akan menyebabkan kawasan bandar dikuasai satu-satu kaum sahaja. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: