Sabtu, 1 Disember 2018

TH lapor polis berhubung dana politik RM22 juta

Muhammad Azizul Osman

Abdul Azeez Abdul Rahim
Abdul Azeez Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Dua laporan polis dibuat Lembaga Tabung Haji (TH) terhadap beberapa bekas pihak pengurusan badan itu berhubung penyaluran dana politik.

Mereka adalah bekas Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta pengurusan kanannya.

Pengurusan kanan ialah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Dalam laporan polis pertama, menyebut dana sejumlah RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik yang berkaitan dengan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017.

TH dalam kenyataannya berkata, amalan itu bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.

YTH ketika itu diamanah kepada Abdul Azeez, Ismee, Johan, Adi Azuan dan Rozaida.

Ia ditubuhkan pada 2016 bagi mengambil alih dana kemanusiaan dan menyumbang kepada yang kurang berkemampuan, miskin dan memerlukan.

TH menyumbang sebanyak RM7 juta melalui program itu.

Laporan kedua pula menyebut amalan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting membabitkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) untuk AS$910 juta (RM3.8 billion) pada 2012.

Ia dibuat keatas Ismee, Hazlinda dan Rifina.

PT TH Indo Plantations memiliki sejumlah 83,000 hektar ladang kelapa sawit di Indonesia.

Untuk rekod, kedua-dua laporan polis ini merupakan siasatan dalaman pertama pengurusan baharu yang dilantik sejak Julai 2018 terhadap aktiviti pengurusan lalu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: