Sabtu, 29 Disember 2018

Tabung Haji tawar ibu bapa Adib tunai haji

 
   


Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan ibu bapa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menunaikan ibadah haji pada musim depan, 2019 sebagai satu penghargaan ke atas pengorbanan besar anggota bomba itu kepada negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata pemilihan ibu bapa Allahyarham ke Tanah Suci Mekah itu dibuat berdasarkan kaedah 'tawaran terpilih' yang berhak dibuat oleh TH mengikut peruntukan yang ada.

"Saya bersama pihak Tabung Haji berbincang sejurus kembali dari luar negara bagi menampilkan satu penghargaan di atas pengorbanan Muhammad Adib ini. Kami periksa dalam senarai, ibu bapanya ada berdaftar (tetapi) kalau ikut jadual asal masa menunggu panjang, iaitu lagi lima tahun untuk dapat pergi haji.

"(Jadi) ada klausa Tabung Haji berhak berbuat demikian iaitu 'tawaran terpilih' kepada ibu bapanya melakukan haji," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga Muhammad Adib di kediaman mereka di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.

Turut serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah Ismail Salleh serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Kedah Mohd Asmirul Anuar Aris.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata kos keseluruhan serta maklumat lanjut berkaitan pemergian ibu bapa Muhammad Adib ke Tanah Suci Mekah itu akan dibincangkan TH kemudian.

Sementara itu, beliau berkata antara kriteria dipilih mendapatkan tawaran berkenaan mestilah ada pengorbanan besar seperti mana terjadi kepada Allahyarham yang terkorban akibat dipercayai dipukul oleh perusuh ketika bertugas.

Dalam pada itu, ibu bapa Allahyarham Mohd Kassim Abd Hamid, 63, dan ibunya Asma Aziz, 51, melahirkan rasa gembira dengan tawaran itu.

"Saya rasa seronok dengan tawaran ini sebab semua orang yang daftar haji akan tertunggu-tunggu untuk ke sana...saya syukur, Alhamdulillah...ada hikmah setiap apa yang berlaku," kata Mohd Kassim.

Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.41 malam, 17 Dis lalu selepas dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov lepas.- Bernama


Tiada ulasan: