Sabtu, 29 Disember 2018

Skim Perlindungan Nasional B40 manfaatkan 4.1 juta golongan B40

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Skim Perlindungan Nasional B40 yang akan menyediakan perlindungan kesihatan secara percuma, dijangka dapat memanfaatkan 4.1 juta golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang berumur antara 18 hingga 55 tahun, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata skim yang akan bermula pada 1 Januari ini dengan dana permulaan sebanyak RM2 bilion, akan menyediakan perlindungan kesihatan secara percuma kepada penerima yang layak untuk 36 jenis penyakit kritikal.

Beliau berkata skim berkenaan akan menawarkan perlindungan insurans dan takaful kesihatan secara percuma kepada golongan B40 yang berkelayakan sebagai bantuan menghadapi cabaran yang timbul daripada masalah menghidap penyakit kritikal dan menjalani rawatan hospital yang boleh menjejaskan aliran pendapatan isi rumah mereka.

“Penerima akan mendapat bayaran sehingga had RM8,000 yang diagihkan dalam tempoh masa yang akan diumumkan.

“Skim ini juga memberi bayaran harian sebagai pendapatan gantian semasa rawatan hospital untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun pada kadar RM50 sehari atau bersamaan dengan RM700 setahun,” katanya.

Melalui dana permulaan sebanyak RM2 bilion itu, Lim berkata skim tersebut akan menawarkan perlindungan perubatan selama lima tahun untuk kumpulan sasaran.

Beliau berkata perlindungan di bawah skim itu akan bermula pada 1 Januari 2019 manakala pendaftaran dan perkhidmatan sokongan pelanggan akan beroperasi mulai 1 Mac 2019.

Pendaftaran boleh dilakukan secara elektronik melalui internet tanpa penggunaan borang kertas dan tiada pemeriksaan perubatan diperlukan untuk pengesahan kelayakan, katanya.

“Semua penerima yang layak di bawah skim ini akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Maklumat lanjut tentang mekanisme dan pelaksanaan skim ini akan dihuraikan apabila ia dilancarkan secara rasmi pada awal tahun 2019,” katanya.

Penyakit-penyakit kritikal yang dilindungi di bawah skim berkenaan termasuk penyakit Alzheimer/ gangguan kemerosotan otak organik tidak boleh pulih, meningitis bakteri, buta/ hilang penglihatan sepenuhnya, kanser, anemia aplasia kronik, koma, kegagalan hati tahap akhir, penyakit paru-paru, serangan jantung, pembedahan injap jantung, kegagalan buah pinggang – dialisis atau pemindahan buah pinggang, penyakit Parkinson, strok, penyakit arteri koronari lain yang serius, pelecuran tahap ketiga.

Lim berkata skim berkenaan merupakan antara langkah penting yang diambil oleh kerajaan untuk menubuhkan jaringan keselamatan sosial dalam aspek perlindungan insurans dan takaful kesihatan yang merangkum untuk golongan berpendapatan rendah secara percuma.

“Skim ini, yang dijalankan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, berpandukan janji manifesto pilihan raya Pakatan Harapan untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.– Bernama

Tiada ulasan: