Rabu, 26 Disember 2018

Selepas himpunan anti-ICERD, retorik Umno- Pas dominan?



Sesungguhnya, himpunan anti-ICERD yang diadakan pada 8 Disember 2018, melanggar logik akal.

Kerajaan persekutuan telah menyatakan bahawa Malaysia tidak akan meratifikasi ICERD, lantas mereka yang ghairah turun ke jalan raya, hilang sasaran untuk “membantah”, kecuali untuk menegakkan “hak berhimpun”.

Lebih-lebih lagi, ICERD adalah satu konvensyen untuk menolak diskriminasi perkauman. Mereka yang menolak ICERD juga menolak perkauman, kononnya. “Kita telah menolak diskriminasi, lantas kita tidak perlu meratifikasi ICERD” – demikian alasannya. Tetapi, kita akan tergagap apabila kenyataan itu diolah sebaliknya – jikalau benar kita menolak diskriminasi, mengapa tidak kita meratifikasi ICERD?

Lagipun, ICERD membenarkan langkah afirmatif. Ia berbalik kepada pertikaian yang dicungkil, kononnya kedudukan istimewa bumiputera yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan akan tergugat seandainya ICERD diratifikasi.

Persoalannya, apakah Perkara 153 ini “diskriminasi” atau “afirmatif”? Jikalau afirmatif, maka ia diizinkan mengikut ICERD. Tiada yang harus dibimbangi, melainkan jikalau ada yang menganggap “kedudukan istimewa” ini sebagai perkauman, iaitu mengistimewakan satu kaum ke atas satu kaum yang lain.

Justeru, kita akan mendapati hujah kita saling bercanggah seandainya kita jujur dengan diri sendiri.
Jikalau kita berterus-terang, himpunan anti-ICERD ini amat berjaya, dari segi mobilisasinya – sungguhpun dari segi logiknya, ia langsung tidak masuk akal.

Persoalannya, mengapa himpunan ini berjaya dimobilisasi, sungguhpun dengan logik yang saling bercanggahan?

Sekilas pandang, kerajaan Pakatan Harapan tidak membuat persiapan yang menyeluruh sebelum mengumumkan hasrat untuk meratifikasi ICERD.

Banyak fakta yang diputar-belit dan dimanipulasi namun ia gagal disanggah atau dipatahkan oleh pemimpin kerajaan dengan sebaik-baiknya.

Misalnya, ICERD hanya berkaitan dengan “diskriminasi perkauman”, tetapi ada pula yang membawa hujah pengiktirafan LGBT, mengheret agama dengan isu murtad dan sebagainya andainya ICERD diratifikasi – untuk menimbulkan kekeliruan.

PH gagal menyanggah tuduhan ini secara berkesan dengan fakta, atau merungkaikan kegelisahan yang ditimbulkan, sebaliknya terperangkap dalam kekeliruan yang mengelirukan.

Seandainya dikupas dengan lebih mendalam, situasi “kelam-kabut” dalam PH ini disebabkan tiada persefahaman, atau tiada muafakat dicapai dalam kalangan parti komponen. Andainya isu “kedudukan istimewa” ini diajukan kepada parti komponen PH, barangkali kita mendapat tafsiran yang berbeza, antara pemimpin PPBM dengan pemimpin DAP.

Malah, saya yakin pemimpin dan akar umbi AMANAH dan PKR mempunyai penafsiran tersendiri terhadap konsep “kedudukan istimewa bumiputera”.

Keadaan menjadi keruh apabila sesetengah pemimpin terlalu selesa dengan kerangka politik lama.

Daripada mencari titik pertemuan atau muafakat ketika berbeza pandangan, sesetengah pemimpin pula ghairah untuk memberi kenyataan semata-mata untuk menyedapkan hati penyokong tradisional.

Masih ada yang mahu menjadi juara dalam kelompok masing-masing. Ia membuka ruang seluas-luas kepada Umno-Pas untuk mengambil kesempatan dan menyerang dengan hujah perkauman dan agama yang sempit.

Ia sekadar pengalaman yang bakal berulang seandainya kita tidak mengambil iktibar daripada pengajaran ini. Topik identiti etnik, agama, budaya, bahasa dan sebagainya antara isu yang paling sukar dirungkai dalam masyarakat majmuk.

Mekanisme penerangan PH hampir lumpuh ketika berdepan dengan serangan Pas-Umno; sedangkan ia seharusnya dijana lebih awal, untuk menyebarkan fakta, melobi, mengolah persetujuan rakyat majoriti sebelum sebarang keputusan dibuat.

Kerajaan PH harus sedar, bahawa kini ia tersepit di antara kelompok yang mendesak untuk perubahan, dengan kelompok yang mahu mengekalkan status quo. Kedudukan ini menyebabkan ia gagal memenuhi tuntutan kedua-dua pihak yang ekstrem.

Sudah tentu ada kelompok yang mendesak agar kepelbagaian diraikan, dan ada juga kelompok yang mendesak agar kepentingan kaum dan agama lebih ditekankan.

Persoalannya, apakah naratif kerajaan baru ketika berdepan dengan isu ini? Dalam suasana “Malaysia Baru” ini, bukankah pemimpin PH seharusnya lebih yakin dan berani untuk berdepan dengan pembangkang dan NGO – sama ada “konservatif” mahupun “liberal”, ketika melakar wawasan untuk Malaysia akan datang?

Bukankah ini zaman terbaik untuk menyuburkan budaya debat, mencetuskan pertembungan idea di ruang awam, agar seluruh rakyat mampu mempertimbangkan hujah semua pihak, sebelum menentukan halatuju kita pada masa depan?

Kerajaan PH tidak wajar memandang remeh pergolakan wacana yang sedang berlaku, di mana ia didominasi dengan retorik yang dibawa Pas-Umno. Adalah tanggungjawab PH juga untuk mengekalkan kesinambungan agenda reformasi, selepas menyempurnakan misi menawan Putrajaya.

Jikalau agenda reformasi gagal terlaksana, andainya ruang wacana gagal dibuka sebebas-bebasnya– tatkala PH berkuasa – agak-agak bila lagi ia akan termakbul?

Tiada ulasan: