Sabtu, 29 Disember 2018

PFA selesai gaji tertunggak pemain dalam 2 bulan

 
   


Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) akan menyelesaikan gaji tertunggak pemain-pemainnya dalam tempoh yang ditetapkan Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presidennya, Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata tempoh 60 hari yang diberikan mencukupi untuk PFA menyelesaikan bayaran tertunggak kepada para pemain.

“PFA sudah melantik peguam untuk menyelesaikan masalah ini dan saya akan menemui FAM dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya kepada pemberita di Kangar, Perlis.

MFL dalam satu kenyataan sebelum ini mengesahkan skuad Singa Utara itu boleh beraksi dalam Liga Premier (Liga Perdana) 2019 namun perlu menyelesaikan tunggakkan gaji pemain-pemainnya.

Menurut MFL sekiranya PFA gagal, skuad kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid itu tidak akan diberi dana FAM dan MFL untuk musim depan dan wang berkenaan akan digunakan membayar tunggakan gaji pemain.

Mengenai pembelian pemain Kedah Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Ahmad Amizal Shaifit berkata PFA telah menutup pintu rundingan kerana kos yang perlu dijelaskan kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak mampu dijelaskan oleh PFA.

Sementara itu Menteri Besar Azlan Man dalam kenyataan Facebooknya memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaiki dan menaiktaraf lampu Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.-- Bernama


Tiada ulasan: