Jumaat, 7 Disember 2018

PERTEMBUNGAN DUA PROGRAM : SIAPA LEBIH RAMAI – ASYRAF

Wartawan Watan-Online
 



Pertembungan dua program dijangka akan menjadi ukuran sokongan rakyat pada hari Sabtu ini.

Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang mendapat sokongan dua parti Melayu Islam iaitu PAS dan UMNO serta berpuluh NGO dijangka akan membanjiri bandaraya Kuala Lumpur.

Manakala program Sambutan Hari Hak Asasi Manusia yang mendapat sokongan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan dijangka dihadir Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO mendakwa ia sebagai satu cubaan untuk mensabotaj himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang berlangsung pada hari sama.

Katanya, dua program besar pada hari sama itu juga seolah-olah satu bentuk persaingan secara zahir antara kelompok yang memang jelas mahukan Icerd diratifikasi dengan kelompok yang menentang konvensyen tersebut.

“Jadi kita tunggu Sabtu nanti, siapa lebih ramai, yang menyokong atau menentang ratifikasi Icerd.

“Saya harap rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian yang telah Malaysia kecapi selama 61 tahun, yang mahu kekalkan keamanan ini mengikut acuan kita sendiri, bukan acuan barat supaya menyokong himpunan membantah Icerd,” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia.

Penganjur perhimpunan bagi membantah Icerd di Kuala Lumpur itu menjangkakan akan dapat menghimpunkan kira-kira 500,000 peserta bagi menyatakan bantahan mereka.

Program yang dikendalikan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) itu dikatakan mendapat sokongan padu dua parti dominan orang Melayu iaitu UMNO dan PAS.

Asyraf dalam satu kenyataan pula mengumumkan yang Pemuda UMNO dan PAS mengerahkan kira-kira 5,000 ahlinya untuk turun mengawasi perhimpunan itu Sabtu nanti.

Manakala Pengarah program bagi perhimpunan itu, Kamaruzaman Mohamad dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) mengesahkan akan menempatkan lebih 120 peguam untuk bertugas pada himpunan bantah ICERD itu.

Katanya, peguam-peguam berkenaan akan berkhidmat bagi memastikan perjalanan perhimpunan mematuhui segala peraturan ditetapkan.


Tiada ulasan: