Khamis, 27 Disember 2018

[PERSPEKTIF] Kita perlu lebih adil kepada Hadi Awang

Abdul Muein Abadi, Astro Awani
[PERSPEKTIF] Kita perlu lebih adil kepada Hadi Awang
Hadirin telah dengan kasarnya menuduh Abdul Hadi (gambar) sebagai seorang yang terperangkap di abad keenam kerana berpegang dengan Al-Quran. - Gambar fail


ULAMA terkenal itu hanya tersenyum.  Beliau cuba untuk menenangkan keadaan yang sepatutnya dingin di kota London tetapi sebaliknya bertukar menjadi panas secara tiba-tiba.  Entah bagaimana, sesi soal jawab yang kebiasaannya berlangsung dalam suasana yang profesional, rasional, tenang, dan matang telah bertukar menjadi medan untuk memaki dan mencerca. 

Hakikat yang lebih mengejutkan ialah sesi memaki dan mencerca tersebut hanya berlangsung secara sepihak.  Lebih khusus lagi, ia dilakukan oleh hanya seorang lelaki kepada seorang ustaz yang juga terkenal sebagai seorang ulama yang bergiat dalam tiga lapangan: politik, dakwah, dan juga ilmu.

Apa yang terjadi sebenarnya? Mengapa begitu dahsyat sekali kata-kata kesat dilemparkan kepada ulama tersebut?  Mengapa peristiwa dan isu tentang sosok ulama ini penting untuk kita renungkan menjelang penghujung tahun 2018 ini?

Kisah ini sebenarnya baru sahaja terjadi – seluruh warga netizen yang mengikuti perkembangan rentak politik tanah air pasti tahu tentangnya.  Ia terjadi ketika sesi lawatan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke London baru-baru ini.

Dalam sesi tersebut, Tuan Guru Haji Hadi sedang memberi jawapan kepada seorang hadirin mengenai pendirian Pas yang menolak cadangan sebahagian ahli politik Pakatan Harapan supaya pilihan raya diadakan di peringkat kerajaan tempatan.

Secara konvensionalnya, pertukaran pendapat dalam sesi sebegini akan berlangsung dalam semangat hormat-menghormati dan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’. Malangnya, hadirin tersebut telah dengan kasarnya menuduh Tuan Guru Haji Hadi sebagai seorang yang ‘terperangkap di abad keenam’ kerana ‘berpegang dengan Al-Quran’.

Beliau juga menuduh Tuan Guru Haji Hadi sebagai ‘rasis’ dan kemuncaknya menggunakan istilah yang tidak tergamak untuk ditulis di sini – hanya semata-mata kerana pendekatan ulama tersebut yang menyandarkan dasar dan keputusan beliau kepada Al-Quran (dan Hadis). 

Pada dasarnya, pendirian Tuan Guru Haji Hadi ini sebenarnya sama dengan pendirian Perdana Menteri Pakatan sendiri iaitu YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga menolak pilihan raya kerajaan tempatan diadakan atas asas ketidakseimbangan kaum dan etnik di majoriti kawasan bandar besar. 

Huraian Tuan Guru Haji Hadi tentang pendirian beliau itu juga relevan – meski pun tidak disukai sesetengah pihak khususnya lawan politik beliau dan juga mereka yang gagal membaca landskap semasa politik hubungan etnik Malaysia kontemporari.

–– ADVERTISEMENT ––
Dalam suasana politik tanah air yang sedang bergelora saat ini, apatah lagi susulan pelbagai isu bersifat ‘taboo’ yang cuba dirungkai satu-persatu – persis tindakan membuka ‘kotak pandora’ – langkah memulakan usaha mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bukanlah tindakan bijak.

Himpunan aman raksasa yang terbesar dalam sejarah negara – Himpunan Bantah ICERD – yang berlangsung 8 Disember 2018 lalu menjadi saksi bahawa kesabaran segmen Melayu Islam tidak boleh dipandang enteng.

Amaran Tuan Guru Haji Hadi betapa langkah mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum – persis tragedi 13 Mei 1969 – bukan retorik politik, sebaliknya ingatan yang benar-benar berasas.

Kita tentu sekali tidak rela selepas 50 tahun tragedi berdarah 13 Mei 1969, ruang untuk satu lagi kemungkinan yang sama dibuka pada 2019.

Fakta juga menyokong pendirian Tuan Guru Haji Hadi dan Tun Dr. Mahathir bahawa saiz komposisi bukan Melayu di kawasan bandar adalah cukup signifikan.  Dalam situasi demografi sebegini, pertembungan politik antara kaum lebih mudah meletus di peringkat kerajaan tempatan berbanding di peringkat yang lebih makro seperti negeri dan seluruh negara (pusat) seandainya pilihan raya dijalankan.

Tragedi yang menimpa allahyarham Muhammad Adib ialah satu lagi bukti jelas betapa rapuhnya politik hubungan etnik di negara kita.

Allahyarham Muhammad Adib meninggal dunia kerana diserang semata-mata kerana beliau seorang berbangsa Melayu yang dikerumuni perusuh yang terbakar sentimen mereka susulan kenyataan tidak bertanggungjawab seorang menteri dan juga seorang EXCO.

Secara logiknya, jika Tuan Guru Haji Hadi ialah seorang yang mengejar kedudukan dan pangkat, beliau sepatutnya menyokong agar pilihan raya tempatan diadakan.

Sekurang-kurangnya, parti Pas pimpinan beliau pasti lebih daripada mampu untuk memenangi majoriti kerusi di kawasan Melayu khususnya di Pantai Timur dan juga Utara tanah air.  Namun kiblat beliau bukanlah kuasa dan kedudukan.

Sebaliknya beliau jelas berpendirian bahawa cukuplah kita berpolitik di peringkat pusat dan negeri sahaja.  Tidak perlu dilanjutkan ‘politicking’ ke peringkat kerajaan tempatan.

Anda tidak perlu menjadi ahli atau penyokong Pas untuk mempertahankan Presiden Pas dalam isu ini.  Malah, tidak kira apa agama anda, tidak seharusnya kata-kata kesat yang dilemparkan dalam sesi soal-jawab di London ini dibiarkan apatah lagi diterima.

Ramai yang tidak mengenali Tuan Guru Haji Hadi secara rapat – sebaliknya mudah menghukum beliau tanpa membaca dan mengikuti dengan teliti keputusan yang diambil. 

Ya, ulama yang dituduh ‘rasis’ inilah yang telah membariskan paling ramai calon bukan Melayu-Islam sebagai calon Pas dalam beberapa siri pilihan raya.

Ulama Presiden Pas yang dibenci kerana dituduh ‘rasis’ inilah yang menghapuskan cukai ke atas pintu gerbang di Kampung Cina, Terengganu sewaktu beliau menjadi Menteri Besar Terengganu dahulu (1999-2004).

Ulama yang dituduh rasis inilah yang memperkasakan Dewan Penyokong Pas Cina dan India.

Ulama yang dituduh ‘rasis’ ini juga mempunyai seorang menantu perempuan yang berketurunan Cina.

Ulama ini juga tenang dan sabar ketika dicaci dan dimaki di London.  Persepsi buruk sebaliknya lebih mudah dipalitkan kepada mereka yang bergelar ulama.

Bukan Presiden dan pimpinan Pas sahaja, sebaliknya ramai lagi alim ulama lain yang turut tidak dihargai masyarakat – malah adakalanya mereka dibenci – sama ada kerana perbezaan cara mereka dalam memberi penyampaian kepada kelompok audien yang berbeza atau pun kekurangan ketika berinteraksi dengan media.

Ulama yang sejati tidak meminta-minta wang ringgit dan mengejar jawatan, sebaliknya mereka pula yang berhabis wang ringgit menyeru dan berusaha agar rakyat menuruti panduan wahyu dalam kehidupan bernegara.  Namun itu tidaklah bermakna Ulama tidak menyertai medan politik.

Seperti mana peringatan Imam Al-Ghazali, agama dan kekuasaan itu ialah kembar yang tidak boleh dipisahkan.  Agama ialah asas, kekuasaan pula ialah pelindung.  Segala hal yang tidak mempunyai asas akan runtuh, manakala segala perkara yang tidak memiliki pelindung akan hilang dan lemah.

Dalam kes Tuan Guru Haji Hadi, jika beliau adalah merupakan seorang yang mengejar pangkat, mengapa tidak beliau bertanding di DUN Rhu Rendang yang merupakan kubu kuat beliau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu (selain daripada Parlimen Marang)?

Malah sebaliknya, beliau memberi laluan kepada seorang teknokrat yang bukan calang-calang, iaitu pakar Aeroangkasa Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar untuk menjadi calon Pas di kerusi berkenaan dan seterusnya menjadi Menteri Besar Terengganu yang baharu apabila Pas menang besar di seluruh negeri Serambi Madinah tersebut.  Beliau juga tidak menghantar pencalonan semula jawatan Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) 2018.

Menjelang tahun baharu 2019 ini, ayuhlah sama-sama kita renungkan satu kebiasaan yang tidak seharusnya kita ulangi lagi – iaitu kebiasaan memberi penghargaan kepada seseorang yang layak menerimanya hanya selepas insan tersebut pergi meninggalkan kita.

Benar, ulama bukan maksum, Tuan Guru Haji Hadi juga bukanlah Nabi, namun kita wajib berlaku adil dalam menanggapi segala pertimbangan dan dasar yang beliau usulkan.  Hargailah dan sayangilah Ulama selagi mereka masih ada.



* Abdul Muein Abadi adalah Pensyarah Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Memperoleh kelulusan Research Master dari Utrecht University, Belanda pada 2014, kini beliau sedang meneruskan pengajiannya di Belanda menerusi Ijazah Doktor Falsafah di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University.

Tiada ulasan: