Selasa, 25 Disember 2018

Pengalaman memandi, mengkafankan mayat reput

Syahril A. Kadir

xMGF06122018_PENGURUSAN-JENAZAH06-1-681x454
Skuad Pengurusan Jenazah, Md Noor Shafie bercakap semasa temubual khas mengenai pengurusan jenazah di Restoran Taj Hadramawt, Melati Utama, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK 
 

KUALA LUMPUR – Menguruskan mayat reput yang berulat dan berbau merupakan tugas yang bukan mudah dan tak ramai yang sanggup melakukannya.

Apatah lagi dengan keadaan fizikal mayat yang ‘rapuh’ dan mudah ‘tertanggal’ hingga menyebabkan hanya yang cekal serta tabah sahaja yang sanggup memikul tugas berat tersebut.

Namun bagi ahli-ahli Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), tidak ada istilah gentar atau takut bila menerima mayat yang dalam keadaan sedemikian rupa.

Ini kerana bagi mereka, sama ada jenazah yang perlu dimandi dan dikafankan itu reput atau sempurna, tanggungjawab untuk menguruskannya sesempurna mungkin sebagai seorang Islam perlu diutamakan terlebih dahulu melebihi segala-galanya

Bagi salah seorang ‘orang kuat’ SPJM, Mohamad Noor Shafie, 39, disebalik segala persepsi dan stigma yang dikaitkan dengan mayat reput, tidak ramai sebenarnya yang tahu bahawa jenazah sebegini sebenarnya lebih mudah dikendalikan berbanding mayat yang sempurna.

39199508_393743224488067_6500092630632759296_o
(Salah satu jenazah yang dikendalikan oleh Mohamad Noor dan 
ahli-ahli SPJM)

” Selalunya mayat reput yang kami terima untuk dimandikan dan dikafankan ini telah selesai menjalani bedah siasat (post mortem), jadi keadaan mayat telah ‘dibersihkan’ lebih awal daripada ulat-ulat atau kekotoran yang ada ditubuhnya.

” Apa yang saya dan rakan-rakan lain di SPJM lakukan adalah dengan hanya melalukan air pada tubuh pada mayat dan mencukupkan rukunnya sahaja.

” Lagipun mayat sebegini mudah tertanggal kulit dan anggota badannya, jadi kita tak boleh menguruskannya terlalu terperinci seperti mana kita menguruskan mayat biasa,” katanya pada Malaysia Gazette ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mohamad Noor, seorang lulusan Sarjana Undang-Undang merupakan seorang penjawat awam tetapi menyertai SPJM secara sukarela kerana menyedari betapa mulianya terlibat dalam kerja-kerja ibadah seperti menguruskan jenazah ini.

Bagi beliau, yang paling sukar sekali bila mengendalikan jenazah reput adalah baunya yang terlalu kuat. Untuk itu, setiap kali beliau mengendalikan mayat reput, beliau akan mengamalkan satu petua yang diajarkan oleh seorang doktor dari Hospital Taiping kepadanya.

Menurut Mohamad Noor, caranya mudah sahaja, setiap kali bila menerima mayat sebegini, perkara pertama yang akan beliau lakukan adalah dengan ‘menghidu’ bau mayat itu sekuat yang mampu!

” Saya akan hidu kuat-kuat untuk ‘one off’. InsyaAllah selalunya masalah bau akan hilang dan kita akan selesa menguruskan jenazah tersebut,” katanya sambil tersenyum.

37952779_379946822534374_5743255561273606144_o

Mengenai mayat mereka yang menghidap penyakit berjangkit dan mempunyai virus seperti HIV/AIDS. Mohamad Noor mengakui ia memang mempunyai cabaran yang tersendiri.

Ini kerana, katanya, ada beberapa prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak hospital bagi mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan mayat yang mempunyai masalah tersebut.

Antaranya, menurut beliau, sebelum dimandikan, pihaknya perlu melalukan dulu klorox ke tubuh si mati dan jenazah juga perlu dibungkus dengan plastik.

Mereka juga, katanya, perlu memakai pakaian khas.

Pun begitu, katanya, ia lebih kepada untuk melindungi mereka yang menguruskan jenazah tadi daripada risiko yang mungkin wujud kerana menguruskan mayat yang mempunyai virus bahaya tersebut.
MGF06122018_PENGURUSAN JENAZAH08
Skuad Pengurusan Jenazah, Md Noor Shafie bercakap semasa 
temubual khas mengenai pengurusan jenazah di Restoran Taj 
Hadramawt, Melati Utama, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
 
Berbalik pada mayat reput tadi, Mohamad Noor menjelaskan, beliau juga pernah mengendalikan satu mayat reput yang dibawa keluar terus daripada beg mayat polis.

Jelasnya, walaupun selalunya mayat reput yang diterimanya selepas dibuat bedah siasat, dalam kes ini, ‘post mortem’ tidak dibuat kerana si mati memang mempunyai sejarah sakit jantung.

” Si mati diserang sakit jantung di hotel penginapannya. Ketika ditemui, arwah dah empat hari meninggal dunia. Ulat dan bau busuk yang kuat menerpa ketika saya hendak memandikan jenazahnya.

” Masa tu hanya saya dan seorang lagi rakan saya di bilik mayat itu. Kebetulan ahli-ahli SPJM ada komitmen lain ketika itu, apalagi, dengan kudrat yang ada kami uruskan juga jenazahnya sebaik mungkin.

” Kesimpulan yang saya boleh katakan beginilah, sebenarnya selain pahala yang dijanjikan Allah, tugasan memandi dan mengkafankan mayat ini banyak mengajar kita tentang erti keinsafan dan ketabahan. Keinsafan bahawa suatu hari nanti kita juga akan melalui fasa kematian dan pada masa yang sama mengajar kita erti ketabahan dalam menguruskan jenazah yang datang dalam pelbagai bentuk dan rupa,” katanya. – Malaysia Gazette.


Tiada ulasan: