Selasa, 11 Disember 2018

Pekerja Lynas protes di luar Parlimen, bimbang hilang kerja

Pekerja Lynas mengadakan bantahan di luar bangunan Parlimen hari ini.
KUALA LUMPUR: Seramai 130 pekerja Lynas Corporation Ltd, Pahang yang khuatir dengan masa depan mereka di syarikat itu berikutan apa yang didakwa berpunca daripada masalah pengurusan birokrasi, menyerahkan memorandum kepada kerajaan hari ini.

Wakil kumpulan itu, Jumaat Mansor ketika ditemui pemberita di pintu pagar utama Parlimen, berkata Lynas kini berdepan masalah pengurusan birokrasi melibatkan pematuhan saringan operasi kilang yang boleh menyebabkan lesen syarikat itu tidak diperbaharui sebelum September 2019.

Katanya, jika masalah itu tidak diselesaikan segera, lebih 90% daripada kira-kira 1,000 kakitangan Lynas yang merupakan warga tempatan akan kehilangan pekerjaan dan lebih 4,000 isi rumah akan terjejas.

“Kami berhimpun hari ini berharap kerajaan menimbang kembali keputusan mereka dan memikirkan nasib pekerja, sekiranya lesen kilang kami tidak disambung,” katanya.
Pegawai Tugas Khas Parlimen, Adli Zakuan Zairakithnaini 
(memakai kot) menerima memorandum daripada wakil pekerja 
Lynas di depan pintu pagar utama Parlimen.
Memorandum berkenaan diserahkan kepada wakil Menteri Luar merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.

Memorandum itu diterima Pegawai Tugas Khas Parlimen, Adli Zakuan Zairakithnaini pada 9.45 pagi di depan pintu pagar utama Parlimen.

Minggu lalu, Lynas dlaporkan secara sukarela akan berusaha melaksanakan cadangan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Materials Plant (LAMP) mengenai operasinya di Gebeng.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze dilaporkan berkata, ia termasuk saranan mengeksport sisa buangan Water Leached Purification Residue (WLP) dari Malaysia, jika lokasi kemudahan pusat pelupusan kekal (PDF) gagal dikenal pasti atau diluluskan.

Tiada ulasan: