Sabtu, 29 Disember 2018

Nik Omar serah hak urus sekolah agama milik keluarga pada kerajaan Kelantan




PETALING JAYA: Isu perebutan Maahad Darul Anuar (Mada) yang diasaskan keluarga Datuk Nik Aziz Nik Mat selesai, selepas anak sulung lelaki bekas mursyidul am PAS itu, Nik Omar menyerahkan hak pengurusan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) di bawah kerajaan negeri.

Majlis penyerahan hak pengurusan itu berlangsung hari ini, di mana penasihat pengurusan Mada, Nik Azam Nik Wajis mewakili Nik Omar sebagai pengerusi lembaga pengarah sekolah berkenaan.

“Alhamdulillah, kemelut selesai dengan baik. Semoga semua diberkati Allah. Selamat maju jaya Maahad Darul Anuar,” kata adik Nik Omar yang juga Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh hari ini.

Mada ialah sekolah agama di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, yang diasaskan bapa Nik Aziz, Nik Mat Raja Banjar pada 1963 dan dikendalikan YIK sehingga 2008.

Nik Omar dilantik sebagai pengetua untuk menguruskan Mada selaku sekolah swasta sejak 2008, tetapi kemelut tercetus selepas beliau meninggalkan PAS dan menjadi calon Amanah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Chempaka pada pilihan raya umum ke-14.

Tindakannya itu menyebabkan keluarga Nik Aziz dikenali sebagai Keluarga Besar Nikmatillah yang mendakwa ialah pemegang amanah sekolah itu, mengemukakan permohonan kepada YIK untuk mengambil alih pengurusan Mada, 4 Oktober lalu.

Nik Omar sebelum ini dilaporkan mendakwa ada pihak cuba mengucar-kacirkan pengurusan sekolah itu.

Dalam surat kepada YIK bertarikh 18 Oktober lalu, Nik Omar berkata, ahli lembaga pengarah ialah satu-satunya badan berdaftar dengan Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan dan pentadbiran Mada.


Nik Hamdi Abdul Ghani (2 dari kanan) bersalam dengan Nik Azam 
Nik Wajis (2 dari kiri) yang mewakil Nik Omar sambil disaksikan 
Nik Din Nik Mat (tengah, berkaca mata) pada sesi penyerahan hak 
pengurusan Maahad Darul Anuar kepada Yayasan Islam Kelantan, hari ini.

Ahli Jawatankuasa Keluarga Besar Nikmatillah, Nik Din Nik Mat berkata, YIK dengan persetujuan keluarga itu melantik Nik Hamdi Abdul Ghani sebagai pengetua baru Mada, menggantikan Nik Omar yang kini dilantik sebagai yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) oleh kerajaan pusat.

“Proses pengambilalihan Mada oleh YIK berjalan dengan baik dan sangat harmoni.

“Pihak Nik Omar menyerahkan pengurusan sekolah kepada YIK, jadi tidak ada lagi isu berbangkit, Nik Omar juga tidak ganggu pengurusan YIK,” kata adik Nik Aziz itu.

Sementara itu, Nik Hamdi berkata, hampir 100 permohonan diterima Mada daripada pelajar baru tingkatan 1 bagi sesi persekolahan tahun depan.

Katanya, guru di bawah pengurusan lama Mada sudah dipanggil untuk sesi temuduga dan mereka yang dipilih YIK mempunyai tauliah sama dengan sekolah agama lain di Kelantan.

“Pelajar lama akan diserap terus, jika mereka mahu kekal belajar di sana,” katanya sambil memaklumkan sekolah itu menyediakan asrama kepada pelajarnya.

“Terima kasih kepada pengurusan lama, saya harap Mada dapat meneruskan kegemilangan, kecemerlangan pelajar, baik dari segi akademik mahupun akhlak.”

Bekas pelajar sokong YIK kembali urus Mada

Beberapa bekas pelajar Mada menyambut baik keputusan YIK mengambil alih pengurusan Mada.

“Kama harap Mada kembali meriah seperti dahulu, di mana ribuan pelajar menimba ilmu di sana ketika di bawah YIK sebelum ini, persekitaran sekolah juga meriah,” kata bekas pelajar yang hanya dikenali sebagai Mohd Hafiz.

Seorang lagi bekas pelajar, Abdul Malek berharap YIK dapat menghidupkan kembali suasana di Mada yang seakan-akan “mati” di bawah pengurusan terdahulu.

“Sejak Mada tidak berada di bawah YIK selepas 2008 dan berada di bawah kendalian Nik Omar sebagai sekolah swasta, keadaan struktur sekolah terbiar, pelajar juga tidak ramai, guru-guru berkurangan, persekitaran sekolah juga sepi seakan mati, bilik darjah rosak, asrama tidak berpenghuni.

“Dulu, ketika Mada berada di bawah YIK, suasana hidup setiap kali kuliah Maghrib pada Rabu dan Khamis, kuliah subuh setiap Jumaat, persekitaran masjid dipenuhi pelajar dan orang luar.”

Tiada ulasan: