Isnin, 10 Disember 2018

Najib, Arul Kanda dijangka didakwa Rabu

MALAYSIAKINI

   
Bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dan bekas presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy dijangka dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rabu ini atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dalam pindaan laporan audit 1MDB.

Sumber Malaysiakini dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mereka akan berdepan satu tuduhan setiap seorang.




Sementara itu, Free Malaysia Today (FMT) turut melaporkan Najib akan didakwa bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 atas tuduhan menerima suapan.

“Dia didakwa menyalahgunakan kedudukannya dengan mengarahkan ketua audit menggugurkan beberapa perkara dalam laporan (audit) tersebut, untuk mengelak daripada tindakan sivil atau jenayah yang mungkin dikenakan ke atasnya kelak,” kata sumber FMT.

Arul bagaimanapun akan didakwa kerana bersubahat dengan Najib.

Sumber SPRM turut memberitahu Malaysiakini bahawa kedua-duanya akan dipanggil terlebih dahulu ke SPRM sebelum didakwa keesokan harinya.

Walaupun tuduhan itu adalah bawah seksyen 23, hukuman bawah seksyen 24 akta yang sama menggariskan hukuman penjara 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan.

Malaysiakini pada 5 Disember lepas melaporkan bahawa kedua-dua Najib dan Arul akan didakwa di mahkamah di bawah seksyen 23 berhubung tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Sementara itu, Najib dipanggil ke SPRM 6 Disember untuk direkodkan keterangan berhubung kes sama.

Tiada ulasan: