Ahad, 30 Disember 2018

Maszlee terima 7kg dokumen cadangan kurangkan beban tugas guru

Norlaile Abd Rahman

Maszlee
Menteri Pelajaran, Maszlee Malik menerima cadangan mengurangkan beban tugas guru daripada NUTP semasa Perhimpunan Khas NUTP di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sembilan intervensi akan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk mengurangkan beban tugas guru bermula Januari depan.

Menteri Pelajaran, Maszlee Malik berkata, kesemua sembilan intervensi tersebut akan dipecahkan kepada lima inisiatif yang akan diumumkan beliau semasa menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 14 Januari nanti.

Kesemua usaha itu katanya adalah untuk memastikan guru-guru kembali kepada tugas hakiki iaitu mengajar dan mempunyai lebih banyak masa bersama murid sama ada ketika mengajar di dalam kelas ataupun ketika mendidik di sekolah.

Tambah beliau, sembilan intervensi yang bakal diumumkan itu adalah hasil perbincangan dan libat urus dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) serta pemegang taruh-pemegang taruh dunia pendidikan sehingga ke peringkat akar umbi

“Ini bukti cadangan yang mereka bawa, lebih tujuh kilogram tetapi ini adalah isi hati para guru yang kita akan laksanakan sama-sama,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Khas NUTP di sini hari ini.

Menurut Maszlee, sesi libat urus mengenai isu beban guru sahaja telah berjalan sebanyak enam kali iaitu pada 15,22 dan 26 Oktober, 19 November, 15 dan 17 Disember lalu.

Katanya, ini bagi memastikan apa sahaja polisi yang dibuat di kementerian adalah datang daripada akar umbi sendiri termasuk guru-guru.

Hasil pertemuan itu Kementerian Pendidikan telah mengenalpasti 10 faktor yang dikatakan menyumbang kepada beban guru iaitu; kepelbagaian program, penyediaan dokumentasi dan bukti, kepelbagaian dan pertindanan sistem aplikasi, isu pentaksiran dan peperiksaan, isu tugas-tugas pentadbiran, arahan kerja, pedagogi, isu kekurangan peruntukan, isu dasar dan peraturan serta, isu struktur dan pengoptimaan pengisian jawatan di sekolah.

Tambahnya, berdasarkan kesemua isu yang telah dikenalpasti, Kementerian Pendidikan telah menggariskan strategi pelaksanaan dalam tempoh jangka masa pendek untuk dilaksanakan sepanjang 2019, jangka sederhana iaitu untuk dilaksanakan pada Jun 2019 dan jangka panjang untuk dilaksanakan pada tahun 2020 sehingga 2021.-MalaysiaGazette


Tiada ulasan: