Rabu, 12 Disember 2018

Masih berebut sekolah, anak Nik Aziz kesal pihak lain urus daftar pelajar

DENYUT REFORMASI

 
KOTA BARU — Lembaga pengarah Mahaad Darul Anuar kesal terdapat “pihak tidak bertanggungjawab” menguruskan pendaftaran pelajar baru tanpa izin pihaknya.

Menganggap satu “pencerobohan bertentangan dengan syarak dan moral”, Nik Omar Nik Aziz bertegas akan mempertahankan amanah legasi pendidikan arwah bapanya.

Selaku pewaris wasiat dan pengerusi lembaga pengarah, pihaknya berkuasa penuh mengendalikan sekolah dan pendaftaran pelajar baru sesi 2019, lapor Sinar Harian.

“Sekiranya terdapat mana-mana pihak berpandangan sebaliknya, dinasihatkan merujuk perkara ini kepada pihak berautoriti,” kata anak lelaki bekas mursyidul am PAS itu.

“Jika masih tidak berpuas hati dengan dapatan diperolehi, pihak tersebut dinasihatkan merujuk perkara ini kepada mahkamah di dalam menentukan pemilikannya.”

Kemelut pemilikan Mahaad Darul Anuar, di Pulau Melaka, di sini tercetus susulan penularan satu surat bahawa ia bakal diambil alih oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada Januari 2019.

Ia disahkan oleh keluarga besar arwah Datuk Nik Aziz Nik Mat yang kemudiannya dinafikan Nik Omar yang menegaskan beliau sebagai pemegang amanah arwah bapanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan keluarganya, yang mendakwa mewakili YIK, membuat pendaftaran terbuka pelajar baru, namun pihak sekolah tidak mengiktirafnya.

Krisis dalam keluarga bekas menteri besar Kelantan ini bermula tegang sejak Nik Omar bertanding menentang calon PAS pada pilihan raya umum lalu. 
 
 

Tiada ulasan: