Rabu, 12 Disember 2018

JANGAN ROSAKKAN IMEJ TABUNG HAJI – HADI

Wartawan Watan-Online
 



PAS mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak mempolitikkan skandal yang berlaku terhadap Tabung Haji (TH) seperti didakwa baru-baru ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata meskipun memandang serius terhadap isu tersebut, namun kerajaan perlu menyegerakan siasatan lanjut dan berhenti berpolemik kerana melibatkan institusi kewangan terbesar umat Islam negara ini.

“Saya mengikuti pendedahan terbaru ke atas pihak Tabung Haji melibatkan aspek pengurusan kewangan, pelaburan dan tadbir urus yang dipertikaikan.

“PAS menasihatkan agar kerajaan tidak mempolitikkan isu ini sehingga merosakkan imej Tabung Haji dan tidak bersikap berat sebelah dalam menjalankan siasatan terhadap kes rasuah dan penyelewengan melibatkan pemimpin Pakatan Harapan yang masih belum disiasat dan didakwa sehingga hari ini,” katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hadi berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa sepatutnya bertindak profesional dengan tidak membicarakan mengenai skandal tersebut secara terbuka di media sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

“PAS berpandangan tidak wajar sekiranya pertuduhan itu dibicarakan melalui media oleh seorang menteri yang masih mentah, ” katanya sebelum menyatakan keyakinan terhadap integriti dan profesionalisme lembaga pengarah, pengurusan tertinggi, pegawai dan kakitangan Tabung Haji dalam tugas melindungi kepentingan pendeposit.

Sebelum itu, Mujahid Yusof mendedahkan Tabung Haji mengalami defisit sebanyak RM4.1 bilion dan melanggar syarat pembayaran hibah (dividen) kerana membuat bayaran ketika liabilitinya melebihi aset.



Tiada ulasan: