SHAH ALAM - Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), mendesak semua pihak berhenti daripada terus mengeluarkan kenyataan tuduh menuduh dalam isu terbaharu Tabung Haji (TH) memandangkan ia sekadar menambah polemik.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, perkara itu perlu dilaksanakan segara untuk penambahbaikkan dan demi masa depan TH.

Menurutnya, Perkasa juga bersetuju dengan cadangan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) segera ditubuhkan bagi menyiasat skandal TH.

“Tanpa mengambil kira siapa yang mencadang penubuhan RCI ini atau dari parti politik mana, asalkan jika cadangan itu baik adalah wajar semua pihak memberi sokongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata, Perkasa turut berdukacita kerana cadangan penubuhan RCI bagi isu 1MDB sehingga kini tidak menjadi kenyataan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tabung Haji ada defisit RM4.1 bilion, langgar akta TH 1995]
[ARTIKEL BERKAITAN: TH adalah Tabung Haji bukan Tabung Harapan]

“Sebelum PRU 14, parti-parti pembangkang waktu itu turut mendesak penubuhan RCI dan kini sudah menjadi Kerajaan PH tapi senyap sunyi sehingga sekarang. Apa sudah jadi..?

“Dan sekarang, TH pula menjadi isu. Segerakan penubuhan RCI kerana isu TH ini besar dan kesannya menjadi lebih buruk,” katanya.

Terdahulu, Ibrahim memberitahu, nama baik TH yang selama ini mendapat pujian daripada seluruh dunia kerana kecemerlangannya dalam menguruskan hal berkaitan haji dan umrah kini telah tercemar dan keyakinan pendeposit terhadap institusi itu merosot.

“Melayu Islam turut malu tidak kira dari PH atau BN dan Pas. Semua umat Melayu Islam malu, saya juga amat malu. Semua yang bertanggungjawab mahu menegakkan benang basah. Masing-masing mendakwa merekalah yang benar.

“Sehingga ke saat ini sukar dibuat kesimpulan siapa yg benar dan siapa yang salah. Semua membuat kenyataan umum tanpa maklumat terperinci dari semua sudut.