Rabu, 26 Disember 2018

Elok Azwanddin diperiksa tabib - Hanipa

MALAYSIAKINI


   
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah patut mendapat pemeriksaan perubatan, sindir timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin.

“Jujurnya, saya tak pasti tahap kesiuman beliau.

“Cuma saya rasa elok juga jika beliau diperiksa oleh para tabib atau pakar psikologi,” kata pemimpin pusat Amanah itu.

Kenyataan ringkas dua perenggan itu dikeluarkan susulan kontroversi terbaru melibatkan Azwanddin, yang antaranya memberi amaran menyerang Balai Polis Klang jika pihak menyebabkan rusuhan berhampiran kuil Hindu di Subang Jaya tidak ditangkap.

Aktivis antikerajaan itu berkata demikian dalam perhimpunan “menuntut keadilan” terhadap anggota bomba allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia dalam rusuhan itu.

Dalam perhimpunan sama, Azwanddin juga menggelar menteri perpaduan P Waythamoorthy sebagai “paria” dan mengaitkan Menteri Industri Utama Teresa Kok dengan kontroversi rumah ibadat lama itu.

Teresa selepas itu mengumumkan akan menyaman Azwanddin.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Hanipa berkata beliau sebenarnya “kasihan” dengan Azwanddin.

“Saya amat kesian dengan presiden Jaringan Melayu Malaysia yang agak 'ketagih' mengeluarkan ucapan yang bersifat kontroversi dan berbaur perkauman serta macam sengaja untuk wujudkan keresahan dan huru hara di negara kita yang aman damai ini,” katanya.


Tiada ulasan: