Ahad, 30 Disember 2018

Bantah kerajaan beri jawatan, kontrak satu pandangan ‘bodoh’

Mohd Zaini Samsu Hadi

xMGF30122018_UCAPAN-PENANGGUHAN-PAT-PPBM22-681x454
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberi ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL
 

PUTRAJAYA – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman menyifatkan gesaan perwakilan membantah kerajaan memberikan jawatan dan kontrak sebagai satu pandangan yang bodoh.

Beliau berkata, langkah yang dilakukan oleh pemimpin Bersatu hingga Pakatan Harapan mencapai kemenangan pada pilihan raya umum lalu bukan dilakukan dengan usaha yang mudah.

Disebabkan itu, tidak wajar ketua-ketua bahagian ditinggalkan begitu sahaja selepas kemenangan dicapai tanpa mendapat apa-apa.

“Dalam PRU kita kena menang by hook or by crook, dengan apa cara sekalipun kita kena menang.

“Saya tengok dalam keadaan sekarang, kita tak dapat pertahan kedudukan sebagai pemerintah. Ketua bahagian ditinggalkan begitu saja.

“Saya juga ketua bahagian, tetapi bernasib baik sebab perdana menteri bagi saya kerja, mampu pertahan bahagian saya. Tapi yang lain? Jangan cakap sombong. Ini pandangan yang stupid, bodoh,” katanya.

Ab. Rashid mengeluarkan kata-kata itu selepas Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengecam beberapa perwakilan yang membuat gesaan itu.

Syed Saddiq yang berang dengan perkara itu menagkui terpaksa lari dari teks ucapan asalnya kerana mahu memberikan teguran tersebut.

Beliau merasa tidak selesa mendengar beberapa perwakilan yang bercakap isu jawatan dan kontrak semasa menggunakan pentas ketika perbahasan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ab Rashid yang juga pengerusi Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (JRPR) berkata, beliau juga suatu ketika dulu tidak suka melakukan apa yang patut dilakukan.

“Tetapi sekarang saya dalam kandang politik, kita patut buat apa yang patut dibuat.

“Semua ketua bahagian mesti mendapat aktiviti (dan) peluang (bagi membolehkan mereka) mampu dari segi kewangan dan pertahankan kedudukan,” ujarnya.

Selain jawatan dan kontrak, Ab Rashid juga menggesa kerajaan mengembalikan semula Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk melaksanakan projek persekutuan di negeri pembangkang.

“Saya harap di Kelantan dan Terengganu mesti dikembalikan semula JPP.

“Segala projek pembangunan oleh kerajaan persekutuan mesti disalur ke JPP dan ketua-ketua bahagian mesti mendapat faedah daripadanya,” tambah beliau. -MalaysiaGazette


Tiada ulasan: