Isnin, 10 Disember 2018

Audit: Tabung Haji bayar dividen guna simpanan pendeposit

MALAYSIAKINI

   
Tabung Haji (TH) didapati membayar hibah (dividen) menggunakan simpanan pendeposit, menurut semakan kedudukan kewangannya pada 2017 oleh syarikat audit bebas PriceWaterhouseCoopers (PWC).

Bagaimanapun, atas kertas, TH membuat rundingan untuk memberikan gambaran bahawa hibah dibayar menggunakan keuntungan syarikat, menurut laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam langkah pertamanya, TH menjual saham-sahamnya dalam Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bagi menunjukkan keuntungan syarikat.

Bagaimanapun, saham-saham itu kemudian dibeli kembali dengan penambahan kos pembrokeran.

Selain itu, anak-anak syarikat TH juga mengisytiharkan dividen yang tinggi kepada dana itu tetapi jumlahnya tidak dibayar penuh.

“Walaupun transaksi itu dilihat tindakan komersial, kami faham bahawa niatnya untuk membolehkan Tabung Haji melaporkan keuntungan lebih tinggi untuk untuk pengagihan kepada pendeposit.

“Ini hanya membuatkan hibah didanai oleh wang tunai daripada dana simpanan pendeposit dan bukannya keuntungan keuntungan,” kata PWC dalam laporan itu.

Dalam rundingan dengan BIMB, TH menjual RM2.551 bilion saham untuk mendapatkan RM553 juta.

Bagaimanapun, pada tahun sama, dana umat Islam untuk mengerjakan haji itu kemudian membelinya semula dengan harga RM2.688 bilion.

Justeru, kata laporan itu, penjualan itu tidak memberikan sebarang faedah tunai kepada TH sebaliknya hanya menaikkan keuntungan untuk tahun kewangan 2017 sebanyak RM553 juta.

PWC juga berkata mereka telah mewawancara peniaga ekuiti Tabung Haji yang mengakui penjualan dan pembelian semula saham BIMB itu hanya demi menunjukkan keuntungan sementara untuk mewajarkan pembayaran dividen.

Peniaga itu juga berkata, menurut laporan, transaksi itu (penjualan dan pembelian semula saham) tidak direkodkan dalam kenyataan kewangan TH – amalan yang menjadi standard laporan kewangan.

Modus operandi sama dikatakan digunakan pada tahun 2016.

Sementara itu, susulan pengisytiharan dividen anak syarikat TH, dikatakan RM510 juta telah diisytiharkan tetapi sebanyak RM222 juta lagi belum dibayar.

“Kami tidak dapat mengesahkan sama ada dividen-dividen ini (dari anak syarikat TB) dapat diselesaikan sebelum 31 Disember 2018,” katanya.

Tahun lepas, TH mengisytiharkan dividen sebanyak 4.5 peratus dan bonus 1.75 peratus.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof berkata Tabung Haji mengalami defisit RM4.1bilion, berdasarkan laporan kewangan TH pada 2017.

Tiada ulasan: