Ahad, 30 Disember 2018

Armada serah SPRM jika Bersatu beri projek, jawatan

Mohd Zaini Samsu Hadi

Bersatu
Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamuddin bercakap pada sesi sidang media pada Perhimpunan Agung Tahunan kali kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI 
 

PUTRAJAYA – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mengecam cadangan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ab Rashid Ab Rahman berhubung pemberian jawatan dan kontrak projek kepada ketua bahagian dan ketua cawangan parti daripada kerajaan.

Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamuddin menegaskan, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibuat sekiranya perkara itu berlaku dalam Bersatu.

Sambil menolak keras kenyataan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu, Ulya menjelaskan, tindakan seterusnya akan diserah kepada badan bebas itu untuk menjalankan siasatan.

“Pemberian projek dan kontrak mestilah mengikut kelayakan, tetapi jika tidak ikut prosedur, Armada menentang habis-habisan.

“Malah kami menolak pemberian projek kerajaan untuk membiayai perjalanan parti, sedangkan kita ada cara lain untuk berbuat demikian,” katanya pada sidang media selepas ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di sini hari ini.

Terdahulu , Ab Rashid ketika ucapan penggulungan mencadangkan ketua bahagian dan ketua cawangan mesti memperoleh lebih wang menerusi pemberian projek kerajaan.

Menurutnya, langkah tersebut sebagai mengenang usaha ketua-ketua bahagian dan cawangan yang bersusah payah sehingga Pakatan Harapan mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

Malah, Ab Rashid turut menyifatkan sebagai ‘bodoh’ kepada perwakilan yang cuba membantah cadangan itu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: