Jumaat, 16 November 2018

Srikandi desak PKR pecat ahli baru amal budaya politik Umno

Siti Aishah Shaik Ismail memberi amaran kepada bekas pemimpin 
Umno supaya tidak membuat onar atau mereka akan dipecat PKR.

SHAH ALAM: Srikandi PKR mendesak kepimpinan parti memecat bekas pemimpin Umno yang mengamalkan budaya politik parti komponen Barisan Nasional itu, walaupun mereka menang dalam pemilihan parti baru-baru ini.

“Saya nak beri peringatan kepada pemimpin ini…kamu menang pemilihan, kami kena terima, tidak apa, kata Ketuanya, Siti Aishah Shaik Ismail dalam ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional Wanita PKR ke-13 di sini, hari ini.

“Tapi, kami nak beritahu pada pemimpin Umno yang menang ketua bahagian, Majlis Pimpinan Pusat, Wanita atau AMK (Pemuda). Kamu buat onar dalam parti, kami angkat, humban kamu keluar daripada parti.”

Ketua penerangan PKR Perak itu turut hairan bagaimana ahli yang menyertai parti itu tidak sampai 6 bulan, boleh memenangi pemilihan yang berakhir hujung minggu lalu.

“Rakan-rakan dalam pertembungan ini, ramai yang setia, yang lama gugur syahid dalam pemilihan. Ramai terpaksa berkorban posisi mereka untuk memberi ruang kepada mereka yang lain, yang baru, yang tidak tahu timbul dan datang dari mana.

“Ada yang baru masuk 6 bulan dapat keizinan bertanding dan menang jawatan dalam parti. Dulu dia Umno-BN,” katanya di depan ratusan perwakilan Wanita PKR dari seluruh negara.

Tahun ini, keahlian PKR meningkat secara mendadak daripada 300,000 ke 800,000 orang selepas pilihan raya umum ke-14 dan mereka yang mendaftarkan sebagai ahli sebelum 26 Jun lalu, layak mengundi dan bertanding dalam pemilihan parti kali ini.

Tiada ulasan: