Khamis, 15 November 2018

Secubit Pandangan Tentang Pemansuhan Hukuman Bunuh

Oleh Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi

 
Beban pembuktian hukuman qisas (bunuh balas) bukanlah sesuatu yang boleh dipandang mudah kerana melibatkan nyawa. Mencabut nyawa untuk menegakkan keadilan bukanlah seperti memukul anak yang tidak solat.

Perbincangan tentang al-nafs bi al-nafs (jiwa dengan jiwa) tidaklah semudah memahaminya secara harfiah iaitu, bunuh orang dibunuh balik. Jika mudah begitu, gersanglah keindahan syariat Allah.
Jika pembuktian untuk jenayah zina yang berkaitan dengan nasab dan maruah amat sukar, apatah lagi pembuktian untuk kes bunuh. Jenayah zina, mangsanya masih hidup padahal jenayah bunuh mangsanya sudah mati.

Sukarnya mendapat saksi empat mata untuk jenayah bunuh, samalah sukarnya untuk mendapat saksi lapan mata untuk jenayah zina, bahkan lebih sukar sebab keterangan mangsa tidak lagi boleh diambil.
Bahkan hukuman bunuh balas memerlukan pembuktian jenayah itu berlaku secara sengaja (qatl al-amd) dan mangsa berkedudukan setaraf dengan pembunuh, menjadikan pembuktiannya berada pada tahap melampau menasabah yang sangat tinggi.

Oleh kerana tuntutan beban pembuktian sangat tinggi, sementara kemungkinan wujud syubhat sangat luas, sedangkan hukuman bunuh mengakibatkan kehilangan sesuatu yang paling berharga iaitu nyawa, maka tidak menjadi sesuatu yang salah jika hukuman bunuh yang termaktub dalam undang-undang kini dimansuhkan.

Adakah ini bermakna menolak hukum qisas dalam al-Quran? Tidak, sebab, setiap hukuman mesti mencapai tujuan tertinggi iaitu keadilan apatah lagi keadilan terhadap nyawa.

Sebab itulah, dalam kes qisas ada peruntukan kemaafan waris, dalam keadaan kemaafan waris itu terbuka walaupun setelah hukuman bunuh balas sudah diputuskan oleh mahkamah.

Maksudnya, jika mahkamah sudah memuktamadkan hukuman bunuh pun waris boleh memaafkan, sedangkan membuktikan pembunuhan itu sendiri sesuatu yang amat sukar, mengapa semangat kemaafan itu tidak diambil daripada awal lagi?

Jika boleh difahami, maksudnya hukuman bunuh itu bukanlah mandatori. Pembunuh boleh dihukum dengan hukuman lain seperti penjara seumur hidup, dan dalam tempoh itu dia berpeluang memperbaiki dirinya dan bertaubat.

Kalau begitu seronoklah bunuh orang sebab tak kena bunuh balas? Kadang-kadang bunuh balas lebih disukai oleh penjenayah sebab dengan hukuman itu dia boleh melampiaskan niat jahatnya sesuka hati dengan harapan, lepas buat jahat, mati.

Apa-apa pun, saya bersetuju hukuman bunuh dimansuhkan daripada peruntukan dalam undang-undang jenayah sivil, sementara itu jika mahu undang-undang qisas dikuatkuasakan, ia perlu melibatkan kajian menyeluruh supaya matlamat hukuman itu iaitu keadilan dan menjaga nyawa tercapai.

Jika memahami lafaz al-Quran sekadar bergantung kepada terjemahan secara harfiah sahaja, tak perlulah para sarjana Islam menulis ratusan jodol tafsir dari dulu sehingga kini tanpa henti.
 
 

Tiada ulasan: