Selasa, 20 November 2018

PPSR, UPSR diumum 29 November

Bernama
PPSR, UPSR diumum 29 November
DR AMIN berkata, semakan keputusan UPSR dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) 2018 juga boleh dibuat melalui portal Lembaga Peperiksaan di laman Ip.moe.gov.my.
 
KUALA LUMPUR: Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 bagi murid tahun enam akan diumumkan pada 29 Nov ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata calon terlibat boleh mengambil keputusan tersebut di sekolah masing-masing bermula 10 pagi atau menggunakan perkhidmatan semakan keputusan UPSR 2018 melalui mySMS 15888.
 
"Perkhidmatan talian tersebut akan diaktifkan bermula 10 pagi, 29 Nov dan akan ditamatkan pada 6 petang, 8 Dis. Waris dibenarkan mengambil dokumen pelaporan sekiranya murid tidak dapat mengambilnya sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semakan keputusan UPSR dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) 2018 juga boleh dibuat melalui portal Lembaga Peperiksaan di laman Ip.moe.gov.my.

PPSR merupakan dokumen yang melaporkan kejayaan murid pada akhir persekolahan peringkat rendah yang merangkumi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan UPSR bagi murid aliran perdana atau PASR bagi murid berkeperluan khas masalah pembelajaran. --BERNAMA 
 
 

Tiada ulasan: