Selasa, 13 November 2018

PKR, walaupun sistem e-undi banyak masalah


Anwar Ibrahim berkata, terdapat pelbagai rungutan, lebih-lebi
lagi dalam pemilihan PKR Bahagian Julau di Sarawak, Sabtu lalu. 
(Gambar Bernama)
 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan PKR tidak boleh ditangguhkan, walaupun timbul banyak masalah akibat pelaksanaan sistem e-undi buat pertama kali tahun ini.

“(Sistem e-undi) memang banyak keresahan kerana dianggap tidak telus dan undi ragu pun banyak. Banyak masalah saya akui.

“Tapi, yang pentingnya proses itu kena jalan, teruslah tak boleh tangguh lagi, tapi saya tahulah kelemahan sistem itu. Memang diakui dari awal,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Presiden PKR itu berkata, setiap calon perlu menerima keputusan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR dan membuat aduan mengikut proses sedia ada, jika timbul sebarang rasa tidak puas hati.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, terdapat pelbagai rungutan, lebih-lebih lagi dalam pemilihan PKR Bahagian Julau di Sarawak, Sabtu lalu.

“Kalau tanya saya, semua rungutan kita siasat semualah. Kita telus.

“Bagaimanapun…kita kena ikut proses dan parti kena jalan. Yang menang dan yang kalah itu biasa dalam proses demokrasi.

“Yang tak puas hati, ada proses boleh dibangkitkan dan keseluruhan ratusan rungutan kita harus teliti. Kalau bawa ke polis, ke SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), itu biarkan diteruskan kerja mereka, tapi parti tak boleh tangguh lagi.”

Ahad lalu, Pengerusi JPP PKR, Datuk Rashid Din mengesahkan keputusan pengundian di Julau digantung, selepas 4 daripada 10 tablet yang digunakan di pusat mengundi bahagian itu digodam perisian intip “Prey Anti-Theft”.

Katanya, siasatan awal mendapati perisian intip itu dimasukkan secara fizikal ke dalam tablet PKR Bahagian Julau kira-kira 4 pagi Sabtu lalu, untuk memadam aplikasi e-undi dalam tablet, mencuri data, mengubah kata laluan dan mengawal tablet dari jarak jauh.

Bagaimanapun, Rashid hari ini dilaporkan berkata, JPP memutuskan pemilihan semula tidak akan diadakan di Julau kerana perincian undi yang direkodkan dan analisis teknikal menunjukkan tiada undi tercicir.

“Keputusan ini berdasarkan analisa hasil kiraan undi yang membuktikan semua data adalah selamat dan berjaya dimuat naik ke pelayan sistem (cloud) walaupun terdapat aplikasi e-undi pada 6 unit tablet disapu bersih perisian ‘Prey Anti-Theft’.”

Tiada ulasan: