Khamis, 15 November 2018

Penerbit Polis Evo 2 dapatkan khidmat nasihat dua mufti

 
   

Penerbit filem Polis Evo 2, Astro Shaw memandang serius tuduhan berat ke atas sesetengah pihak yang melabelkan filem tersebut sebagai mencemarkan imej Islam.

Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Astro, Khairul Anwar Salleh, berkata, pihaknya tidak sesekali berkompromi terhadap perkara itu dan akan bertemu dengan dua mufti untuk mendapatkan nasihat mereka.

“Malaysia mempunyai pendirian tegas terhadap aktiviti ekstremis atau yang boleh memesongkan agama kerana ia boleh memberi kesan buruk jika tidak dikawal dan boleh mengancam keselamatan negara.

“Kami akan mengadakan pertemuan dengan mufti Wilayah Persekutuan dan Perlis (Dr Zulkifli Mohamad dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin) bagi mendapatkan pandangan berhubung perkara itu dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala Polis Evo 2 di Mutiara Damansara, Petaling Jaya malam semalam.

Khairul Anwar yang turut merangkap sebagai penerbit eksekutif filem itu berkata, sesi pertemuan itu tidak akan berakhir di situ, sebaliknya mereka akan turut mengundang mufti terbabit untuk menyaksikan Polis Evo 2.

“Kami akan mengajak mereka untuk menonton dan mendapatkan nasihat lanjut tentang filem ini selepas itu,” katanya.

Untuk rekod, ini kali pertama pihak Astro mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mengambil pendirian berdiam diri ketika isu terbabit menjadi topik hangat di media sosial.

Ia juga selepas beberapa hari pemimpin PAS dan penyokong parti itu menyatakan rasa kurang senang dengan filem berkenaan yang dianggap memberi gambaran buruk terhadap Islam.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Mohd Nor yang membuat kenyataan asal itu turut menggesa rakyat Malaysia untuk memboikot filem yang dijadual menjengah pawagam 22 November ini.

Bagaimanapun, semalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan filem Polis Evo 2 tidak berdepan dengan mana-mana kekangan daripada kerajaan.

Dalam satu kenyataan, KDN turut menyatakan Lembaga Penapis Filem (LPF) telah menonton tapis Polis Evo 2 dan memberi keputusan Lulus Bersih dengan klasifikasi 13 untuk tayangan pawagam.
Khairul Anwar turut meminta rakyat Malaysia tidak cepat terpengaruh dengan gesaan boikot yang dicadangkan.

Sebaliknya, beliau menyarankan peminat yang ternanti-nanti filem kesinambungan Polis Evo yang pernah diterbitkan pada 2015 itu untuk pergi menonton terlebih dahulu sebelum membuat sebarang andaian.

“Harus tonton sebelum buat keputusan kerana hanya dengan menyaksikan trailer saja tidak mencukupi untuk menggambarkan keseluruhan filem.

“Namun kami yakin selepas beberapa minggu filem ini boleh pergi jauh kerana mendapati banyak pihak yang mempertahankan selain mereka mengajak dan menyokong untuk menonton terlebih dahulu,” katanya.

Khairul Anwar turut menegaskan, Polis Evo 2 jelas memaparkan implikasi buruk bakal didepani rakyat negara ini sekiranya golongan ekstremis atau ajaran sesat tidak dibendung

“Dalam negara majoriti penganut Islam, kita tidak mahu seseorang menggambil kesempatan atau menggunakan agama untuk mengganggu gugat ketenteraman negara.

“Namun, pihak kami percaya memang wujud pihak yang mempergunakan agama untuk tujuan tertentu,” katanya.


Tiada ulasan: