Rabu, 28 November 2018

Penceroboh kuil diupah RM150 hingga RM300 seorang

 
   
Kekecohan dan ketegangan di kuil Sri Maha Mariamman sejak beberapa hari lalu berpunca daripada tindakan sekumpulan orang menceroboh rumah ibadat penganut Hindu itu, kata Muhyiddn Yassin.

Kata menteri dalam negeri itu, mereka ialah sekumpulan lelaki Melayu yang diupah peguam syarikat pemaju dan pemilik tapak berkenaan.

Kata Muhyiddin kumpulan lelaki terbabit menceroboh kawasan kuil dan mengawal kawasan tersebut sebelum pihak pemaju dan anggota polis tiba pada pagi 26 Nov lalu.

"Berdasarkan siasatan polis, sejumlah RM150,000 diserahkan kepada ketua kumpulan terbabit untuk melakukan kerja menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil.

"Lebih kurang 50 orang diupah untuk melakukan kerja itu yang setiap setiap seorang daripada mereka menerima bayaran antara RM150 hingga RM300," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut Muhyiddin tindakan menceroboh itu amat tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang.

Ia juga katanya menimbulkan kemarahan penganut Hindu yang berada di kawasan kejadian sehingga menimbulkan kekecohan, pergaduhan dan kerosakan harta benda.

"Saya amat kesal dengan tindakan gopoh dan cuai yang diambil pihak dikaitkan dengan syarikat pemaju yang jelas melanggar undang-undang.

"Sekiranya tindakan gopoh dan cuai ini tidak diambil, saya percaya insiden pergaduhan di antara kumpulan lelaki Melayu dan penganut Hindu di kuil Sri Maha Mariamman tidak berlaku," katanya

Tiada ulasan: