Rabu, 14 November 2018

Pemerintahan PH bawa ancaman dan gugatan?

IZWAN ABDUL HALIM

KUALA LUMPUR: Tiada usaha konkrit daripada pemimpin Islam Melayu di dalam PH untuk mengukuhkan asas Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya mereka pula bersikap ‘lebih sudu dari kuah’, demikian bidas Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad.
 
Katanya, setelah memenangi PRU14 dan menjadi kerajaan, mereka pula yang membuka ruang hingga segala hak terdapat dalam Perlembagaan itu dicarik-carik oleh pihak lain tanpa ada tindakan memperteguhkannya.
 
Lebih mengecewakan ujar beliau, setiap perkara berkaitan Islam dan Melayu akan dipersalah, dipandang jahat, direndah dan dihina, selain diberi kata dua yang keras, mengugut dan seumpamanya.
 
“Contoh, berlaku kejadian di sekolah tahfiz, mereka gesa sekolah tahfiz ditutup. Tapi berlaku kes sama di sekolah kebangsaan, tidak pula disuruh tutup? Ada orang mati dilanggar pemandu mabuk minum arak, tak pula disuruh haramkan arak.
 
“Sepatutnya bila berlaku masalah (berkaitan Islam), cari jalan penyelesaian untuk memperkasakan kedudukannya, bukan perlekeh dan merendahkannya. Tapi itulah jati diri Menteri berkenaan dari memartabatkan perkara-perkara tadi,” bidasnya dalam temubual bersama NTH Online Media, di sini kelmarin. 
 
Islam direndahkan 
 
Turut menghakis kepentingan Islam katanya, apabila Parlimen meluluskan Akta 164 sebelum PRU14 yang seolah-olah membuang kuasa dalam Akta 121 (1A) di mana perkara berkaitan orang Islam di Mahkamah Syariah juga boleh diheret ke Mahkamah Sivil.
 
Di mana jelas Kamaruzaman pada perbincangan bertajuk “Melayu dan Islam diancam” itu, Akta tersebut memberi kuasa kepada Mahkamah Sivil untuk membicarakan isu-isu yang sepatutnya diselesaikan secara bersama dengan Mahkamah Syariah.
 
Malah maklumnya, terdapat cubaan untuk membawa, mengusul dan meluluskan Akta Keharmonian Agama di mana akan menyebabkan kes-kes melibatkan Islam dengan agama lain diletakkan di bawah kuasa jawatankuasa terdiri daripada pelbagai agama.
 
Terang beliau, keadaan tersebut akan meletakkan kedudukan Islam lebih rendah daripada sepatutnya berbanding jaminan dan ketinggian martabatnya yang telah sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 
 
Dihayati semua rakyat 
 
Menempuh semua cabaran itu kemukanya, penghayatan rakyat terhadap keluhuran Perlembagaan perlu diperteguhkan dan bukannya menyebabkan atau membuka ruang untuk ianya dipertikai, serta diancam gugat oleh sebarang tujuan sekalipun.
 
Semua pihak tegasnya, harus menyedari sejarah dan asal usul negara Malaysia yang bermula daripada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu iaitu gabungan hak dan kuasa negeri-negeri Melayu berdaulat di mana para Sultan dan Raja selaku pemerintahnya.
  
Katanya, daripada kebenaran dan pengorbanan mereka itulah telah memberikan keizinan pemerintahan sebagai persekutuan seterusnya negara Malaysia yang menggabungkan sama Sabah dan Sarawak dengan diikat oleh Perlembagaan Persekutuan. - HARAKAHDAILY


Tiada ulasan: