Selasa, 13 November 2018

PAC tangguh siasatan semula 1MDB sehingga kes mahkamah selesai

Nur Hasliza Mohd Salleh
Ronald Kiandee berkata, PAC akan memulakan prosiding ke atas 
Laporan Pengauditan 1MDB pada minggu pertama Disember ini 
dengan memanggil Ambrin Buang sebagai saksi pertama. (Gambar Bernama)
 
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menangguhkan siasatan semula ke atas skandal 1MDB sehingga semua kes mahkamah membabitkan syarikat milik Kementerian Kewangan itu selesai.

Pengerusinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata keputusan itu dibuat atas nasihat peguam negara.
Katanya, beliau sudah memberitahu keputusan itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang akan memaklumkan kerajaan.

“Kita telah buat kenyataan bahawa prosiding terhadap 1MDB tidak boleh dibuat dan harus ditangguhkan sementara waktu kerana ada kes keterlibatan 1MDB di mahkamah,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Pada 16 Ogos lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul supaya ketua audit negara dan PAC menyiasat semula penyelewengan dan skandal 1MDB serta syarikat berkaitan dengannya.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kini berdepan puluhan pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB serta bekas anak syarikatnya, SRC International.

Prosiding ke atas laporan audit 1MDB diteruskan

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, PAC akan meneruskan prosiding dengan memanggil 2 saksi baru berhubung Laporan Pengauditan 1MDB oleh Jabatan Audit Negara yang dibentangkan kepada jawatankuasa itu pada Mac 2016.

Katanya, 2 saksi terbabit ialah bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Ketua Audit Negara ketika ini, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Ronald berkata, PAC akan memulakan prosiding itu pada minggu pertama Disember ini dengan memanggil Ambrin sebagai saksi pertama.

“Dalam prosiding ini, PAC akan menyiasat sama ada wujud sebarang kekangan dan halangan yang dihadapi Jabatan Audit Negara dalam melaksanakan pengauditan terhadap syarikat 1MDB, selain jika terdapat sebarang ubah suai terhadap fakta serta maklumat dalam Laporan Pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC.”

Beliau memberi jaminan prosiding itu tidak akan mengganggu kes pendakwaan 1MDB di mahkamah.
Pada Mac 2015, Najib mengarahkan ketua audit negara meneliti akaun 1MDB dan menghantar laporan kepada PAC.

Laporan Pengauditan 1MDB itu diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia pada 22 Januari 2016, sebelum dibentangkan kepada PAC pada 4 Mac tahun sama.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan status rahsia Laporan Pengauditan 1MDB dibatalkan pada 15 Mei lalu.

Tiada ulasan: