Khamis, 15 November 2018

P Pinang pantau hutan paya bakau guna satelit, pacuan 4 roda

Jabatan perhutanan negeri juga dibekalkan kenderaan pacuan 
4 roda untuk memantau aktiviti pencerobohan di hutan paya 
bakau. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan giat menjalankan aktiviti pemantauan dengan lebih ketat bagi mengelakkan aktiviti pencerobohan hutan bakau terus dilakukan oleh dalang tidak bertanggungjawab.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata Kerajaan negeri memandang serius pencerobohan terhadap hutan bakau sama ada di kawasan hutan simpanan kekal atau di tanah milik kerajaan negeri.

“Kerajaan Negeri mengambil serius berhubung pencerobohan tanah kerajaan yang berlaku baru-baru ini di kawasan Hutan Bakau Juru, Bukit Tengah, di daerah Seberang Perai Tengah pada Oktober 2018.

“Pencerobohan ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan amat dikesali. Menyedari hakikat ini kerajaan melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang akan terus mempergiatkan aktiviti pemantauan secara berkala dan penguatkuasaan di atas hutan bakau sama ada di kawasan hutan simpanan kekal atau di tanah kerajaan negeri,” katanya semasa menjawab soalan Ong Chin Wen (PH-Bukit Tengah) pada persidangan DUN hari ini.

Chow berkata jabatan perhutanan negeri dengan sumber tenaga yang terhad akan sentiasa berusaha memastikan keselamatan hutan paya bakau di negeri ini terjamin dan tidak diceroboh oleh mereka yang ingin mengaut keuntungan secara haram.

“Sebagai langkah proaktif, jabatan hutan negeri menubuhkan pasukan risikan dan sentiasa peka terhadap aduan awam. Setiap aduan awam akan segera dijalankan siasatan. Selain itu, jabatan perhutanan negeri juga dibekalkan kenderaan pacuan 4 roda untuk memantau aktiviti pencerobohan selain meneliti aktiviti itu menerusi imej satelit terkini yang disediakan oleh pejabat perhutanan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata jabatan perhutanan negeri juga sentiasa tegas menguatkuasakan akta perhutanan negara ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan sebarang penebangan hutan sama ada di kawasan hutan simpanan kekal atau di tanah kerajaan negeri.

“Jika sabit kesalahan di bawah akta hutan negara iaitu larangan mengambil hasil hutan, pelaku yang didapati bersalah akan dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum 20 tahun di bawah Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara,” katanya.

Tiada ulasan: