Ahad, 18 November 2018

Nasib sekolah Tamil kini di tangan kerajaan PH

Mohd Zaini Samsu Hadi

Najib Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman bersama sebahagian tetamu berbangsa Hindu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Parti IPF Bahagian Hulu Langat di The Store, Semenyih, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 
 

SEMENYIH – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu bertanggungjawab terhadap permasalahan yang berlaku di sekolah-sekolah Tamil yang pernah menjadi fokus kerajaan dahulu.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak boleh melepas pandang sekolah-sekolah berkenaan terutama dalam aspek pendidikan di peringkat prasekolah kerana masyarakat India sangat memerlukannya.

“Sebab itu, patut kerajaan PH sekarang ambil tindakan untuk membuka sekolah-sekolah pra-Tamil ini,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Rumah Terbuka Depavaali Parti IPF, Bahagian Hulu Langat di sini hari ini.

Najib berkata, beliau telah menunaikan tanggungjawabnya dalam membela masyarakat India ketika menjadi Perdana Menteri dan sekarang ini tiba masa untuk kerajaan baharu mengambil alih tugas tersebut selepas berlakunya peralihan kuasa pada PRU14 yang lalu.

Katanya, Menteri Pendidikan harus menyelesaikan segala tuntutan masyarakat India terutama dalam aspek pendidikan agar anak-anak daripada bangsa itu agar tidak keciciran.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media berbahasa Tamil yang mendakwa segelintir ibu bapa dalam kalangan masyarakat kaum itu tidak berpuas hati ekoran terdapat sekolah bagi prasekolah Tamil yang telah siap dibina namun, masih belum dapat digunakan ekoran ketiadaan perabut dan alat bantu pengajaran.

Terdahulu dalam ucapannya Najib berkata, harapan beliau untuk melihat sekolah Tamil setanding dengan sekolah-sekolah lain sebagaimana yang dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak tercapai apabila hasrat tersebut tidak ditunai oleh kerajaan baharu.

Katanya, cadangan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu melalui ‘Malaysian Indian Blue Print‘ ketika BN memerintah telah menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat India diterima untuk masuk ke universiti-universiti tempatan bagi meneruskan pengajian.

“Saya telah bantu banyak NGO-NGO India untuk menjalankan pelbagai program membantu masyarakat kaum itu.

“Saya juga telah meluluskan pembinaan enam buah sekolah Tamil dan peruntukan tambahan ke sekolah itu.

“Tetapi apakan daya tak sempat nak diagihkan kita telah terkecundang dalam pilihan raya ke-14 yang lalu,” ujarnya.

Tambah beliau, jika nasib yang dialami BN tidak menjadi begini peruntukan-peruntukan khas itu pasti akan diterima selepas beliau membuat keputusan untuk meluluskannya ketika menjadi ketua kerajaan sebelum PRU lalu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: