PUTRAJAYA - Perenggan berkaitan kehadiran ahli perniagaan yang diburu  Low Taek Jho atau  Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB). diarah digugurkan dalam penyediaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Menurut Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad,  perkara itu diarahkan bekas ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri, Tan Sri Shukry Salleh pada 26 Februari 2016 atas alasan ianya sensitif dan untuk mengelak fakta diputar-belit oleh pihak pembangkang ketika itu.

Madinah berkata beliau telah  menyampaikan taklimat kepada mesyuarat Jemaah Menteri mengenai pindaan kepada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016.

“Laporan akhir Pengauditan 1MDB sebelum pindaan telah diserahkan  kepada  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan. – Bernama