Khamis, 15 November 2018

MUFTI TEGUR WAKIL RAKYAT LOMPAT PARTI




Meskipun tiada larangan dari segi perundangan, namun trend ahli Parlimen melompat parti dilihat sebagai tindakan kurang bermoral dan tidak amanah.

Mufti negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata sepatutnya ahli Parlimen perlu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan ahli kepada parti dengan adil dan amanah.

“Dari segi moral (lompat parti) kurang baik kerana dilihat tidak menjaga amanah terutamanya kepada parti yang membantunya.

“Ahli Parlimen berkenaan sudah diberikan kepercayaan dan mendapat sokongan penuh daripada parti untuk bertanding jadi sepatutnya dia menghormati parti,” katanya ketika dihubungi Watan Online pada Rabu.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakui wujud usaha untuk menarik ahli Parlimen UMNO ke dalam parti gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Mereka akan berusaha menarik ahli-ahli Parlimen ini untuk memperkuat parti dalam PH dan kita tahu mereka tidak akan menerima ahli Parlimen yang melompat kecuali mereka jadi Bebas dan baru kemudian akan diterima,” katanya memetik laporan media.

Jumlah kerusi Parlimen dimenangi UMNO- Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sebanyak 54 kerusi kini hanya berbaki 49 kerusi apabila lima ahli Parlimen UMNO keluar parti.

Ahli Parlimen UMNO Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menjadi ahli terbaru keluar parti sebelum menyertai Parti Beribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Selain Mustapa, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin; Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal turut mengumumkan keluar UMNO dan mengisyhtiharkan diri sebagai ahli Parlimen Bebas.


Tiada ulasan: