KUALA LUMPUR - Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) menafikan laporan sebuah portal yang bertajuk ‘ Isu video rasis: Waytha Moorthy tak perlu mohon maaf- Mujahid’.
Menurutnya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti tajuk portal tersebut.

“Tajuk yang ditulis bukan sahaja salah tetapi ia langsung tidak menggambarkan keseluruhan berita. Justeru, masyarakat dinasihatkan agar tidak terpedaya dan mempercayai tulisan tajuk tersebut.

“Meskipun kerajaan meraikan kebebasan bersuara dan kebebasan media, namun ia tidak bermakna masyarakat boleh sewenang-wenangnya melakukan kesalahan seperti ini kerana ia boleh menjejaskan keharmonian kaum dan bangsa di negara ini.

“Meletakkan tajuk sensasi yang disengajakan tanpa menggambarkan keseluruhan isi berita merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kenyataan Moorthy tidak wakili kerajaan]

Katanya lagi, berita yang diletakkan di portal itu juga difahamkan dicuri daripada portal berita lain tanpa memberi kredit.

“Malah, portal itu juga diragui kerana langsung tidak memaparkan maklumat berhubung portal tersebut.

“Sehubungan itu, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak membaca tajuk sesuatu berita semata-mata serta mempercayai 'berita-berita' yang diviralkan tanpa membaca dari sumber sahih,” katanya.