Selasa, 20 November 2018

Kerani akaun rugi RM120,000 ditipu sindiket Macau Scam

Bernama
Kerani akaun rugi RM120,000 ditipu sindiket Macau Scam
Modus operandi yang digunakan suspek sama seperti kes lain yang berlaku di seluruh negara, namun masih ada individu yang ditipu dan terperdaya.
 
KEPALA BATAS: Seorang kerani akaun kerugian RM120,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa lelaki itu mempunyai kes jenayah serta tidak hadir perbicaraan kes di mahkamah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 39 tahun itu menerima panggilan telefon ketika berada di tempat kerjanya di sini minggu lepas, kononnya daripada pihak mahkamah yang meminta dia hadir untuk perbicaraan kes.

"Panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Ang dan memaklumkan mangsa mempunyai kes pengubahan wang haram dan tidak hadir perbicaraan kes itu di mahkamah.
–– ADVERTISEMENT ––
 
"Sarjan itu memberitahu mangsa yang kesnya masih dalam siasatan dan meminta tidak memaklumkan kepada sesiapa memandangkan mangsa adalah 'suspek' dalam kes itu serta meminta mangsa memberi kerjasama," katanya di sini hari ini.

Katanya berikutan panik dan takut, mangsa tanpa berfikir panjang terus membuat pemindahan wang daripada akaun simpanan miliknya ke akaun bank yang diberikan lelaki mengaku sebagai polis seperti diarahkan suspek berkenaan.

Noorzainy berkata mangsa juga melakukan lima transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank berlainan dalam tempoh satu minggu yang membabitkan jumlah keseluruhan RM120,000.

"Malah, mangsa mendakwa bertindak demikian apabila dimaklumkan bahawa kesemua wangnya untuk tujuan siasatan dan akan dipindahkan kepada Juruaudit Negara. Mangsa akhirnya menyedari dia ditipu selepas gagal menghubungi lelaki mengaku sebagai polis sebelum membuat laporan polis semalam," katanya.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan suspek sama seperti kes lain yang berlaku di seluruh negara, namun masih ada individu yang ditipu dan terperdaya.

"Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik apabila menerima panggilan telefon seperti ini sebaliknya menghubungi polis atau pihak berkuasa untuk pengesahan," katanya. -- BERNAMA 
 
 

Tiada ulasan: