Isnin, 26 November 2018

Kecoh di kuil Seafield: Waytha minta rakyat bertenang

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy meminta semua pihak bertenang susulan kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights awal pagi ini.

Mengambil maklum kejadian berkenaan dan telah menerima pelbagai maklumat serta rakaman video yang tular berhubung kekecohan itu, Waytha Moorthy berkata beliau telah menghubungi Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengenai insiden tersebut.

“YB Menteri telah membangkitkan keprihatinan masyarakat terhadap rusuhan yang menjadi ancaman terhadap keamanan dan ketenteraman masyarakat pelbagai bangsa dan agama serta mengancam kebebasan agama,” demikian menurut kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut kenyataan itu, Tmbalan Ketua Polis Negara berjanji melakukan siasatan menyeluruh mengenai insiden itu.

Waytha Moorthy turut melahirkan kebimbangan berhubung pelbagai sebaran berita tidak benar berhubung kejadian itu, yang boleh menimbulkan ketegangan emosi dalam kalangan masyarakat.

Sehingga kini, tujuh lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan polis berhubung kekecohan yang dikatakan berpunca daripada perselisihan antara dua kumpulan hingga menyebabkan 18 kereta pelbagai jenis dan dua motosikal terbakar.

Tiada ulasan: