Khamis, 15 November 2018

Icerd: K’jaan jamin tak mansuh Perkara 153 Perlembagaan

MALAYSIAKINI

   
PARLIMEN l Kerajaan hari ini memberi jaminan bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak akan dimansuhkan meskipun negara meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Jaminan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy ketika menjawab soalan tambahan Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang igin tahu sama ada ratifikasi Icerd akan membawa kepada pemansuhan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Menurut Waytha, konvensyen itu membenarkan tindakan afirmatif mengikut Artikel 1(4) berhubung langkah-langkah khas, tertakluk dengan syarat bahawa tindakan sedemikian perlu mempunyai penetapan waktu tertentu dan objektif.

“Langkah-langkah khas perlu memenuhi beberapa syarat seperti kesesuaian dengan situasi yang ingin diubah, keabsahan, keperluan dalam masyarakat demokratik, pengakuan dan penghormatan kepada prinsip keadilan, selain bersifat sementara.

“Kewajaran dan penanda langkah khas seharusnya berlandaskan data tepat, bukan berasaskan ras, warna, keturunan, asal usul etnik atau bangsa dan mengambil kira komponen gender.

“Status sosio-ekonomi dan budaya sesebuah masyarakat yang berlainan dalam populasi juga perlu diambil kira, selain mengadakan rundingan awal dengan komuniti berkaitan,” katanya.

Tiada ulasan: