Pencetus kontroversi ini tidak mengetahui, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukan kerajaan dunia dan resolusi, konvensyen atau protokolnya tidak semestinya dipatuhi oleh negara anggotanya.

Mereka juga tidak menyedari, keputusan PBB mesti dikaji secara menyeluruh oleh negara anggotanya untuk mengelakkan impak negatif kepada nilai-nilai teras, kepentingan survival, kedaulatan dan keselamatan nasional.

Elit tertinggi pemerintahan di negara anggota PBB, termasuklah Menteri dan ADUN, mesti juga insaf, keputusan PBB tidak boleh mengatasi keputusan negara yang berdaulat. Ini kerana konsep dan sistem kenegaraan moden berdasarkan Perjanjian Damai Westphalia (1648) menegaskan, semua negara, besar atau kecil, mempunyai hak yang sama berkaitan kedaulatannya.

Kedaulatan negara juga dijadikan prinsip utama undang-undang antarabangsa yang menegaskan, sesebuah negara mempunyai kedaulatan yang eksklusif ke atas wilayahnya. Ia juga dimaktubkan dalam Kanun PBB bahawa tidak ada suatu autoriti boleh mengizinkan campur tangan mengenai hal ehwal yang dalam bidang kuasa sesebuah negara.

Selain itu, Majlis Keselamatan PBB hanya berfungsi untuk memelihara keamanan, Perhimpunan Agung PBB untuk membincangkan isu dunia, institusi sosioekonomi PBB untuk mewujudkan dunia yang saksama, dan institusi perundangan PBB untuk mengasaskan undang-undang antarabangsa. (Evan Luard 1979, dalam buku The United Nations: How It Works and What It Does).

Oleh itu, PBB tidak boleh mengarahkan negara anggotanya mematuhi atau mengguna pakai segala resolusi, konvensyen atau protokolnya. Hujah ini boleh dijadikan wacana pihak yang sudah mengutip 83,000 undi membantah ratifikasi ICERD, supaya isu ini dibantah secara komprehensif dan menerusi gerakan terancang.

Penentang ratifikasi ini juga wajar menyedari, ICERD yang diluluskan oleh PBB pada 1961 untuk mematahkan gerakan anti-yahudi (antisemitism) pada 1960, berkuat kuasa pada 4 Januari 1969. Ini menunjukkan, ICERD sudah berkuat kuasa 59 tahun dan pendirian Malaysia tidak meratifikasikannya selama ini tidak pernah menimbulkan reaksi negatif.

Lantas, kenapa dan bagaimanakah isu ICERD ditimbulkan dan apa motif rahsia yang diperjuangkan pihak yang memunculkan kontroversi ini? NGO Melayu/Islam perlu menggerakkan bantahan mengenai ratifikasi ICERD berasaskan kemusykilan dan persoalan ini; dan menghalusinya menerusi wacana melibatkan cendekiawan undang-undang, keselamatan dan hubungan antarabangsa.

Persilakan Waytha Moorthy yang memulakan kontroversi ICERD menerusi kenyataannya dalam Bernama pada 28 Oktober lalu, hadir ke wacana itu. Tanya kepadanya, adakah beliau memahami status dan fungsi PBB serta konsep kedaulatan negara; dan fahamkah bahawa pengurusan keselamatan nasional, dasar luar dan hubungan antarabangsa, adalah kuasa Perdana Menteri selaku Ketua Eksekutif Keselamatan Nasional dan Ketua Eksekutif Dasar Luar?

Minta penjelasan, apa maksudnya bahawa “Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak akan memberi kesan kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan?”

Seterusnya, jika Perkara 153 tidak berkait dengan ratifikasi ICERD, kenapakah Hindraf memfailkan saman di Queen’s Bench Division, High Court of Justice, London, pada 30 Ogos 2007, dan mendesak Perlembagaan Persekutuan diisytiharkan sebagai tidak sah? Kenapakah dalam saman yang sama,

Hindraf mengatakan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan, kononnya bercanggah dengan Deklarasi Hak Manusia Sejagat? Adakah benar usaha meratifikasikan ICERD berkait dengan saman Hindraf mengenai Perlembagaan Persekutuan pada 2007?

Di wacana yang sama, jemput Chow Yu Hui (DUN-Tras) dan Chiong Yoke Kong (DUN-Tanah Rata) yang mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kaitan ratifikasi ICERD dengan Deklarasi Setapak (1967). Cari jawapan dari ADUN DAP ini, apa maksud kenyataannya dalam akhbar (12 November 2018) bahawa “jika parti itu (DAP) mahu menjadi sebuah parti untuk semua rakyat, ia sepatutnya bermula dengan memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet untuk meratifikasikan (ICERD)”.

Minta pencerahan mengenai pendiriannya bahawa “Dalam Deklarasi Setapak, pendirian DAP adalah sangat tegas dan kukuh bahawa warganegara Malaysia tidak harus diasingkan dengan label bumiputera dan bukan bumiputera”. Dapatkan jawapan, kenapakah kajian Leon Comber (1983) membayangkan Deklarasi Setapak berkait dengan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan Lee Kuan Yew pada 1964 hingga 1965.

Kesimpulannya, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan, ratifikasi ICERD akan dihalusi secara bijaksana. Rakyat Malaysia yang prihatin, mesti mendahului proses ini menerusi pendekatan berhemah dan berwibawa.

* DATUK DR. RUHANIE AHMAD ialah lulusan ijazah PhD dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).