Ahad, 18 November 2018

Hadi cabar PH kerah penyokong

 
 
   
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mencabar pemimpin kerajaan mengerah penyokong mereka supaya turun padang untuk menunjukkan sokongan dan membandingkan apa yang mampu dilakukan oleh parti itu bersama Umno.

Katanya dalam sistem demokrasi ia bukan sekadar mengenai parlimen tetapi ahli parlimen juga berhak mendengar suara rakyat.

"Kita berhak mengadakan perhimpunan aman supaya mereka saksikan berapa banyak rakyat (yang menyokong).

"Bandingkan, kalau mereka berani, mereka kerah (pula) orang mereka ramai mana... bandingkan," katanya sambil disambut tepukan penyokong PAS dan Umno yang memenuhi dataran di pekan Kampung Gajah, Pasir Salak malam ini.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas perancangan PAS untuk berkumpul di Kuala Lumpur pada 8 Disember ini sebagai tanda membantah pengiktirafan Icerd.

Himpunan berkenaan turut disambut dengan penuh semangat oleh Umno.

Malahan presiden parti itu sendiri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengikrarkan dukungannya terhadap rancangan perhimpunan membantah Icerd itu.

Ibarat anjing sekampung berkelahi

Seperti biasa Abdul Hadi tidak ketinggalan menyelitkan perumpamaan dalam ucapannya pada majlis Himpunan Perpaduan Ummah itu.

Kata anggota parlimen Marang itu anjing yang sedang berkelahi juga boleh bersatu menghadapi ancaman dari luar.

"Ingat, kalau anjing sekampung yang sedang berkelahi kalau datang (pengacau) anjing sekampung boleh bersatu," katanya.

Namun Abdul Hadi pantas menegaskan bahawa itu bukanlah bermakna PAS itu anjing.

"Kami bukan anjing, yang najis mughallazah dan tak ada akal.

"Ingat kalau ada sekampung anjing yang berkelahi, masuk yang luar satu kacau dia, dia boleh bersatu.

"Oleh itu jangan main-main," katanya.

Abdul Hadi juga sempat berpantun:

"Mat Kilau perwira pahlawan
Menghunus keris melompat pagar
Lampu hijau boleh berjalan
Lampu merah jangan dilanggar.

Pasir tuan Pasir Salak
Sila datang menimba ikannya
Sarang tebuan jangan 'dijolak'
Kalau 'dijolak' besar padahnya."

*'Jolak' di sini dipercayai bermaksud jolok, penggunaan kata 'jolak' diyakini bertujuan memenuhi kehendak hukum rima pada setiap bait puisi Melayu lama ini.
 
 

Tiada ulasan: