Jumaat, 30 November 2018

DAP SAH WUJUD USAHA GULINGKAN FAIZAL AZUMU




DAP Perak mendakwa wujud usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berdasarkan kepada dua kenyataan yang pemimpin politik negeri itu.

Naib Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Nga Kor Ming merujuk kepada pengakuan dibuat oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi, dalam kenyataan mereka.

“Zambry dalam sidang medianya semalam berkata ‘it’s real’ (ini benar).

“Berdasarkan kedua-dua fakta secara terbuka oleh Zambry dan Asmuni, maka saya sahkan ada usaha untuk cuba menjatuhkan kerajaan negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, pada Selasa.

Semalam, Asmuni yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) di laman media sosialnya, mendedahkan dirinya pernah ditawar jawatan Menteri Besar oleh UMNO jika keluar PH dan mendakwa ia berlaku pada 1 November lalu.

Beliau mendakwa UMNO menghantar wakil mengajaknya untuk keluar dari PH seterusnya ditawarkan jawatan Menteri Besar bagi membentuk kerajaan bersama parti itu serta wakil rakyat PAS dan PPBM.

Sabtu lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mendakwa beberapa EXCO mahu menjatuhkan Menteri Besar dan mereka sudah menghubungi sekurang-kurangnya lima ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan ditawarkan dengan pelbagai tawaran supaya membantu usaha mereka dalam menyokong usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Faizal di DUN.

Saarani dipetik berkata, semua ADUN UMNO itu bagaimanapun sudah berikrar tidak akan berkomplot dengan mereka kerana parti itu mempunyai jalan tersendiri untuk menjadi kerajaan termasuk menerusi pilihan raya, bukan dengan cara mengkhianati mana-mana pihak.

Kor Ming berkata, menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 124 (B) Kanun Keseksaan kerana menghasut selain cuba menggulingkan kerajaan tanpa mengikut sistem demokrasi dan Seksyen 124C kanun sama atas dakwaan cuba melakukan kegiatan yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.

“Kita tidak akan melepaskan anasir yang cuba porak perandakan negeri kerana kita mahu tumpu kepada kebajikan rakyat serta kesejahteraan rakyat. Ini adalah tumpuan kita.

“Saya seru Barisan Nasional (BN) jadilah pembangkang yang konstruktif dan bukan cuba jatuhkan kerajaan,” katanya.


Tiada ulasan: