Khamis, 15 November 2018

Dana GST hilang: Siasatan selesai akhir tahun ini, kata PAC

DENYUT REFORMASI

 
 
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan RM19.4 bilion hilang daripada Tabung Bayaran Balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata PAC akan mengadakan mesyuarat sebelum membuat rumusan berdasarkan keterangan saksi terakhir, Lim Guan Eng hari ini untuk dilaporkan kepada Parlimen.

“Saya tidak mahu membuat kesimpulan awal, sebaliknya kita akan duduk dan meneliti setiap bukti yang didedahkan kepada kami sejak bulan lalu.

“Kita memang berhasrat menyelesaikan siasatan ini selewat-lewatnya sebelum tamat penggal ini atau akhir tahun ini,” katanya selepas mesyuarat PAC di Parlimen hari ini.
Terdahulu, Lim terkejut kerana PAC menganggap RM19.4 bilion yang hilang daripada Tabung Bayaran Balik GST masih berada dalam simpanan kerajaan.

Menteri kewangan itu berkata, pihaknya akan berusaha membuktikan kehilangan dana itu.

“Saya terkejut, tapi kita akan selidik perkara ini. Kita sudah pun memaklumkan kepada PAC bahawa wang itu tiada dan dengan jelas memang wang itu tiada dalam simpanan negara.

“Namun, jika wang berkenaan ada, sudah pasti kita akan meraikannya, kita juga tidak perlu ambil wang dari Petronas.”

Lim dalam sidang Dewan Rakyat 8 Ogos lalu mendakwa kerajaan kekurangan RM19.25 bilion kerana hanya ada RM148.6 juta dalam akaun amanah pembayaran balik GST, sedangkan akaun itu sepatutnya mempunyai RM19.4 bilion.

Katanya, sebanyak 121,429 syarikat dan individu belum menerima bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion sejak 2015, dan ramai tertanya mengapa bayaran lewat.

Beliau berkata, Datuk Seri Najib Razak mempunyai kuasa menghentikan pemindahan RM19.25 bilion ke kumpulan wang disatukan untuk bayaran balik GST daripada RM82.9 bilion yang diminta Jabatan Kastam.

Najib bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.

Pada 24 Oktober lalu, Najib memberi keterangan kepada PAC selama sejam berhubung aliran kewangan kerajaan, pungutan daripada GST dan pulangan cukai itu.

PAC juga sudah memanggil beberapa individu lain memberi keterangan, termasuk Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam, bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, bekas menteri kewangan, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
 
 

Tiada ulasan: