Rabu, 28 November 2018

Dakwaan GLC Johor rugi: Penjelasan Khaled Nordin

 
   

Kenyataan Menteri Besar Johor Osman Sapian baru-baru ini dalam ucapannya menuduh bahawa prestasi syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Johor adalah mengecewakan.

GLC Johor dikatakan mempunyai hutang yang banyak, tidak untung dan kerana itu Kerajaan Negeri tidak berupaya untuk melakukan pelbagai program pro-rakyat.

Menteri Besar Johor nampaknya bukan sahaja sudah meniru naratif kerajaan Persekutuan bahawa banyak program prorakyat terpaksa dibatalkan atau ditangguh kerana Kerajaan mempunyai hutang yang besar.

Dalam konteks GLC Johor, dakwaan sebegini bukan sahaja sangat tidak bertanggungjawab dan tidak berasas. Malah, sangat terpesong, tidak tepat dan sengaja dibuat untuk mengelirukan orang ramai.


BACA: GLC tak maju, rugi berdepan risiko ditutup - MB Johor


Ini kerana, kenyataan tersebut tidak dibuat dengan memberikan konteks yang sebenar, maklumat yang lengkap serta kriteria penilaian yang adil dan objektif.

Kurang bijak nilai kedudukan dengan hutang

Pertama sekali, adalah tidak konklusif dan kurang bijak untuk kita menilai kekuatan dan kedudukan sesebuah konglomerat dengan hanya melihat jumlah hutangnya.

Jumlah hutang semata-mata tidak menunjukkan prestasi sebenar syarikat. Sebaliknya, hutang tersebut mestilah dinilai dan dirujuk bersama-sama dengan aspek-aspek penting yang lain.

Misalnya, berapa banyakkah jumlah aset semasa, jumlah tunai atau simpanan semasa, bayaran dividen, trend aliran keluar masuk tunai, rekod dan keupayaan membuat bayaran balik hutang, pulangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Kesemua aspek ini harus dinilai dan diambil kira.

Kedua, kita mesti turut mengambil kira sumbangan dan pelaburan sosial yang bukan bersifat dan bermatlamatkan keuntungan dalam bentuk material atau wang.

Terdapat banyak sumbangan tidak langsung GLC kepada masyarakat dan negeri Johor yang mesti turut diambil kira dalam menilai 'untung-rugi' mereka.

Misalnya, tajaan biasiswa, pemerkasaan pendidikan, program komuniti, kewujudan peluang pekerjaan, perkongsian pintar, pemindahan teknologi, inisiatif dalam pemeliharaan alam sekitar serta pelbagai aspek lain.

Sekalipun secara kewangannya, kita melabelkan GLC ini sebagai rugi, namun kita tidak boleh terus menolak sumbangan besar serta pelaburan sosial mereka kepada masyarakat.

Malah, dalam konteks GLC, inilah aspirasi dan mandat sesetengah mereka. Iaitu untuk membawa kesejahteraan dan perkongsian kemakmuran dengan masyarakat dengan cara membangunkan persekitaran sosial yang baik. Bukannya memaksimumkan keuntungan material yang dikira dari aspek kewangan semata-mata.

Skrip lama DAP

Ketiga, sebenarnya, serangan ke atas GLC Johor seperti ini bukan perkara baharu.

Ia adalah skrip lama dari DAP yang dibangkitkan oleh bekas Adun Skudai semasa Sidang DUN pada April 2016. Saya pernah menjawab perkara ini secara mendalam dan terperinci.

Cuma, saya terkesima apabila skrip lama DAP ini dikutip dan dikitar semula oleh menteri besar Johor sekarang, yang nampaknya sangat jelas tidak membuat semakan sebelum menuduh GLC Johor mempamerkan prestasi yang teruk kerana hutang yang banyak.

Saya berikan beberapa contoh prestasi baik GLC Johor untuk menyangkal dakwaan tidak berasas mereka ini.

Pertama: Permodalan Darul Ta'zim (PDT)

Permodalan Darul Ta'zim Sdn Bhd (PDT) telah ditubuhkan pada 16 Disember 1994. Sejak penubuhannya sehingga tahun 2012, PDT mencatat kerugian terkumpul berjumlah RM7,977,411.00 (RM7.97 juta).

Namun, setelah penstrukturan semula PDT, Laporan Kewangannya bagi tahun berakhir 2013, 2014 dan 2015, menunjukkan keuntungan terkumpul berjumlah RM10,444,578.00 (RM10.44 juta).

Ini merupakan peningkatan sebanyak 933 peratus atau 9 kali ganda bagi tahun berakhir 2015 berbanding tahun 2014.

Hasil penggandaan keuntungan tersebut, PDT telah mengumumkan dividen kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM5,253,745.55 (RM 5.25 juta) yang diberikan dalam bentuk 'in-kind' kepada pelbagai program. Antaranya:

a. Bantuan pelajar Sarjana dari keluarga berpendapatan rendah melalui Tabung Pendidikan PDT berjumlah RM300 ribu.

b. Pembiayaan latihan pegawai-pegawai Kerajaan Negeri serta kakitangan PBT khususnya dalam bidang perancang bandar dan alam sekitar sebanyak RM400 ribu.

c. Menjayakan pengurusan keusahawanan di Johor melalui Perbadanan Usahawan Johor Berhad (EDC) berjumlah RM 4,553,745.

Sebagai sebuah syarikat pelaburan strategik kerajaan, PDT juga mempunyai kepentingan pemilikan saham secara langsung dalam syarikat-syarikat berpotensi dan strategik. Misalnya:

a. Sejumlah 10 peratus pegangan dalam Ranhill Holdings Berhad yang telah disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia.

b. Sebanyak 100 peratus pegangan dalam Johor Special Water Sdn Bhd (JSW) yang bertindak sebagai syarikat yang membekalkan air mentah kepada Bahru Stainless Sdn Bhd yang merupakan syarikat keluli yang berasal daripada Sepanyol; dan

c. Sejumlah 10 peratus pegangan dalam syarikat-syarikat usahasama antara Dialog Sdn Bhd, Petronas dan Vopak Group di Pengerang dengan pulangan keseluruhannya dijangka akan diterima pada tahun 2020.

Kedua: J-Biotech

J-Biotech adalah sebuah lagi GLC Kerajaan Negeri yang mencatatkan prestasi yang cemerlang. Pada tahun 2016, J-Biotech telah mengusahakan mengambil inisiatif untuk mengenal pasti pelbagai inisiatif baharu.

Termasuklah rundingan dalam bidang Waste-to-Wealth (pengasingan sisa untuk menjana pr
oduk hiliran bernilai tinggi seperti bio-diesel dan elektrik) perkhidmatan bekalan bahan boleh terbiodegradasi, serta perkhidmatan bekalan dan kerja-kerja sivil untuk projek yang khusus.

Diunjurkan bahawa jumlah pendapatan untuk semua anak syarikat dan syarikat J-Biotech Holdings pada tahun 2016 sahaja adalah sebanyak RM12.5 juta dengan unjuran keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.9 juta.

Sumbangan J-Biotech bukan hanya tertumpu kepada aspek pendapatan tetapi turut meliputi bantuan dalam pengembangan sektor bioteknologi dan penarikan masuk pelaburan baharu.

Pada tahun 2015 sahaja, nilai pelaburan yang telah diterima adalah sebanyak RM 670.3 juta, yang juga telah membuka sebanyak 668 peluang pekerjaan. Ini melebihi sasaran KPI 2015 iaitu sebanyak RM 500 juta dan peluang pekerjaan 300 orang.

Sasaran pelaburan pada tahun 2016 pula ialah RM 700 juta dan 400 peluang pekerjaan.

Pada tahun 2015, J-Biotech juga telah berjaya menyelaraskan latihan kepada seramai 1813 lepasan SPM sehingga ijazah melalui program yang dilaksanakan oleh Johor Biotechnology Talent Development Center untuk memenuhi keperluan 18 buah syarikat dalam sektor industri berasaskan bio di Johor.

Ketiga: Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ)

Sepanjang 5 tahun saya mentadbir Johor, GLC seperti KPRJ adalah pihak yang banyak sekali terlibat dalam komitmen membina rumah mampu milik sehingga kita berjaya menyiapkan sehingga 19 ribu unit rumah di bawah agenda RMMJ.

Kumpulan Prasarana Rakyat Johor misalnya, telah berjaya:

a. Melakukan kerja-kerja membaik pulih 316 unit pangsapuri PPR Taman Setia Indah dengan perbelanjaan sebanyak RM10 juta.

b. Menyiapkan projek penswastaan 427 unit Rumah Teres Kos Sederhana Rendah Taman Setia Indah dengan perbelanjaan RM10 juta.

c. Melakukan kerja membaiki kecacatan di Pangsapuri Datuk Hasnah & Desa Melayu Johor Bahru.

KPRJ juga telah berjaya menyiapkan pelbagai kemudahan awam lain termasuklah projek pembinaan dan penyiapan 95 buah Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) di bawah Fasa 1-4. Malah, di bawah Fasa 5, KPRJ akan mereka bentuk dan membina 30 buah lagi SAKJ di seluruh Johor.

Mereka juga telah membelanjakan kira-kira RM14 juta untuk membina dan membaik pulih 12 surau dan masjid dan membelanjakan RM11.3 juta untuk membina dan membaik pulih 4 Dewan Orang Ramai.

Dengan pelbagai pelaburan dan penglibatan dalam projek-projek rakyat seperti ini, sudah pastilah hutang dan liabiliti KPRJ akan bertambah. Tetapi, adakah semuanya tidak memberikan hasil dan pulangan? Terutamanya dalam jangka panjang.

Keempat: Johor Corporation (JCorp)

Saya ingin menegaskan yang setakat tahun 2016, berdasarkan pengetahuan terbaik saya, kedudukan aset yang dimiliki oleh Johor Corporation secara keseluruhannya mencecah RM5.8 bilion.

Ini adalah kira-kira 5 kali ganda jumlah hutangnya yang hanya sekitar RM1 bilion lebih seperti yang dinyatakan oleh menteri besar Johor.

Jika jumlah aset keseluruhan ini diambil kira, maka pastilah bacaan nisbah hutang/liabiliti ke atas aset keseluruhan Johor Corporation akan menjadi positif.
Malah ia akan mencatatkan lebihan jumlah aset bersih. Dan jumlah ini pun masih belum lagi mengambil kira harga pasaran pelaburan-pelaburan Johor Corporation dalam syarikat anak yang tersenarai seperti Kulim dan KPJ.

Yang lebih penting, sejak 2012 sehingga 2016, Johor Corporation sentiasa berjaya memastikan yang sebarang obligasi hutangnya dipatuhi dengan baik mengikut jadual yang ditetapkan.

Manakala pulangan in kind yang disumbangkan kepada Johor dan masyarakatnya termasuklah;

a. membantu operasi Klinik dan Hospital Waqaf An-Nur, yang sehingga kini telah merawat lebih 1.09 juta orang;
b. mewujudkan sehingga 184 ribu peluang pekerjaan sehingga 2014;
c. membina sebanyak 12, 758 unit rumah mampu milik; 
d. menerima pelaburan masuk terkumpul ke Johor sehingga mencecah RM63 bilion; dan
e. membantu membina dan menyelenggara sehingga 6 buah masjid termasuklah yang terbaru, Masjid Sultan Iskandar bernilai RM23 juta.

Jika ingin dihitung, secara keseluruhannya sehingga 2014, Johor Corporation telah memulangkan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM84.84 juta dalam bentuk dividen tunai dan RM630 juta dalam bentuk pulangan bukan tunai, menjadikan jumlah keseluruhannya berjumlah RM714.84 juta.

Gimik politik, alasan pemimpin malas fikir

Kesimpulannya mudah. Pertama, jika kita ingin menilai sumbangan Johor Corporation atau mana-mana GLC Johor, kita mestilah bersikap adil untuk mengambil kira pelbagai faktor yang kritikal dan relevan dan tidak hanya bersandar kepada jumlah hutang mereka.

Saya ingin tarik perhatian menteri besar Johor kepada penulisan akademik untuk membuka minda beliau.

Ulasan Professor Harvey B. Lermark, pensyarah Retail Management and Marketing, Philadelphia Universiti Amerika Syarikat dalam Steps to a Basic Company Financial Analysis pada tahun 2003 dan kenyataan oleh Amy Gallo, Editor Harvard Business Review dalam artikelnya bertajuk A Refresher on Current Ratio pada September 2015, kedua-duanya merumuskan bahawa nisbah semasa (iaitu liabiliti/ hutang semasa ke atas aset semasa) bukanlah satu ukuran terbaik memandangkan ia tidak mengambil kira kedudukan jangka masa panjang sesuatu syarikat.

Lebih-lebih lagi dalam kes GLC yang nyata telah sentiasa memberi balik pulangan in cash dan in kind kepada kerajaan negeri mengikut Pekeliling Perbendaharaan.

Kedua, saya percaya, kesemua dakwaan tidak benar ini hanya gimik politik. Ia hanyalah alasan yang dibuat-buat oleh seorang pemimpin yang malas berfikir bagaimana untuk mencari idea baharu bagi membangunkan Johor.

Ketiga, saya sangat bersetuju dengan hasrat menteri besar Johor, seperti yang katanya telah dipersembahkan kepada DYMM Sultan Johor, untuk membuat audit forensik ke atas GLC Johor.

Cuma, jangan sekadar disebut sebagai penyedap ucapan. Lakukannya. Dapatkan pihak yang profesional, berkecuali dan pakar untuk benar-benar membuat penilaian dan laporan ke atas prestasi GLC Johor ini.

MB tertekan minggu depan bentang belanjawan negeri

Yang pasti, biar apa pun kriteria yang ingin dinilai, jangan sesekali menafi dan mengeluarkan sumbangan GLC ini kepada Johor dalam bentuk yang jauh lebih besar dari sekadar rekod keuntungan dalam ringgit.

Keempat, saya mencabar menteri besar Johor, selaku pengerusi kepada sebahagian GLC Johor, untuk memberikan kepimpinan dan mencari jalan agar syarikat-syarikat ini mengurangkan hutang dan mendapat untung.

Tidak ada guna hanya menuding jari pada orang lain tanpa berbuat apa-apa untuk membetulkan keadaan.

Telahan saya, barangkali beliau kini tertekan, kerana minggu hadapan, beliau akan membentangkan Belanjawan Negeri Johor 2019. Maka, sudah pastilah keupayaan beliau memikirkan strategi ekonomi dan inovasi sosial akan diteliti dan dinilai oleh masyarakat.

Jadi, tumpukanlah perhatian untuk membentang agenda dan hala tuju baharu dalam melonjakkan potensi besar negeri Johor ke tahap yang lebih baik. Inilah ujian sebenar untuk beliau.

Berhentilah menuduh, kurangkan kontroversi, jangan hanya rajin menyebar manipulasi dan spekulasi. Berikan kepimpinan, lakukan perubahan, buktikan pencapaian.


* KHALED NORDIN ialah Naib Presiden Umno dan bekas menteri besar Johor.


Tiada ulasan: