Rabu, 7 November 2018

Bon Samurai: Bersediakah kerajaan jika yen naik tiba-tiba?

Wartawan MalaysiaGazette

xMGF08052017_PersidanganMinyakDanGas06-681x452
Najib Razak
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata, tidak ada salahnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu menerbitkan bon sebanyak 200 bilion yen (RM7.4 bilion) dalam matawang yen dengan kadar faedah 0.65 peratus biarpun ia lebih tinggi dari kadar faedah bank di Jepun pada masa ini.

Namun, katanya, Malaysia perlu memastikan kadar pertukaran mata wang (Forex) yen berbanding ringgit tidak naik secara tiba-tiba.

Katanya, jika peningkatan itu berlaku, hutang negara akan naik walaupun kadar faedah rendah.Lantaran itu, bekas Perdana Menteri bertanya adakah kerajaan sudah mengambil langkah-langkah tersebut.

Ini kerana, bukan kali pertama Malaysia meminjam dari Jepun dengan kadar faedah yang sangat rendah, sebaliknya ia adalah kebiasaan sejak tahun 1980an dan 1990an.

Jelas Najib, Bank Negara Jepun melaksanakan polisi kadar faedah negatif atau kadar faedah di bawah sifar pada tahun 2016 untuk merangsang ekonominya dan polisi ini masih berkuatkuasa hari ini.

Bank-bank di Jepun tidak dibayar apa-apa faedah, malah dikenakan caj jika mereka mahu menyimpan wang dalam bentuk tunai ataupun bon pinjaman.

Oleh itu, kadar faedah yang rendah untuk Bon Samurai yang diumumkan baru-baru ini ialah kebiasaan dan tiada kaitan dengan cerita “kerajaan bersih” yang cuba dijaja oleh Lim Guan Eng.

“Pada masa itu, selepas kita pinjam, matawang yen naik tiga setengah kali ganda berbanding ringgit dan menyebabkan negara menanggung pembayaran balik yang jauh lebih tinggi biarpun kadar faedah rendah.

“Pada tahun 1994, PM ke-4 pernah mengumumkan hasratnya untuk tidak lagi mahu meminjam dari Jepun kerana negara Jepun pada masa itu enggan memberi sebarang potongan walaupun tahu kos pembayaran balik hutang kita kepada mereka telah naik berganda akibat kenaikan nilai matawang yen,” katanya dalam satu kenyataan.

Najib menambah, pinjaman-pinjaman dari Jepun ini biasanya ada syarat bahawa projek-projek negara mesti dianugerahkan kepada syarikat dari Jepun seperti KLCC, KLIA dan banyak lagi.

Oleh sebab bimbang peristiwa masa silam akan berulang, Kerajaan BN dalam tempoh 10 tahun sebelum ini tidak banyak meminjam dalam matawang asing ataupun dari Bank Dunia mahupun Tabung Kewangan Antarabangsa.

Untuk pinjaman dari negara China bagi projek ECRL, yang mana kadar faedah ialah 3.25 peratus, Kerajaan BN telah menetapkan kadar forex menghapuskan risikonya.

Dalam kes 1MDB pula, pinjaman dalam mata wang dolar Amerika Syarikat juga diimbangi dengan pembayaran dan aset dalam mata wang dolar juga – sekaligus menghapuskan risiko forex.

Inilah yang kerajaan dahulu tuntut dari IPIC untuk membayar balik kepada Malaysia sebelum 30 Disember 2020 seperti terletak di dalam perjanjian penyelesaian dengan IPIC yang ditandatangan pada April 2017. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: