Rabu, 14 November 2018

Bagaimana Goldman akan dapat bayar ganti rugi? - Kit Siang

MALAYSIAKINI

Gergasi perbankan Goldman Sachs kini harus menjelaskan bagaimana ia akan dapat membayar pampasan kepada rakyat Malaysia berhubung peranannya dalam kontroversi 1MDB, kata ketua parlimen DAP Lim Kit Siang.

Menurut Lim, Goldman Sachs memainkan peranan penting dalam skandal 1MDB dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat pelaburan Malaysia itu.

"Sudah tiba masanya jelaskan bagaimana ia akan memberi ganti rugi kepada 32 juta rakyat Malaysia atas pecah amanah dan kleptokrasi jenayahnya.

"Jelas sekali bahawa tanpa peranan Goldman Sachs, skandal 1MDB tidak akan berlaku, seperti diperkatakan bekas peguam negara Amerika Jeff Sessions di Forum Global pada Pemulihan Aset pada Disember lalu, sebagai 'kleptokrasi paling buruk'" kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim merujuk kenyataan ketua eksekutif Goldman Sachs, David Solomon yang mengatakan adalah sesuatu yang dasyat apabila dua bekas kekitangannya "terang-terangan melanggar undang-undang" dalam urusan mereka dengan 1MDB.

Goldman Sachs telah membantu merancang pengeluaran tiga bon dari 2012 dan 2013, dengan memperoleh AS$ 600 juta dalam proses itu.

Dua bekas kakitangannya adalah Tim Leissner dan Roger Ng.

Leissner disabitkan di Singapura dan mengaku bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat manakala Ng akan turut menghadapi tuduhan serupa.

Lim mengesa Goldman Sachs memberikan jawapan sama ada mereka akan dapat membantu rakyat Malaysia mendapatkan keadilan kerana menjadi mangsa skandal 1MDB.

"Berbilion-bilion yang hilang dalam skandal 1MDB boleh mewujudkan pekerjaan, menyediakan tempat di sekolah dan universiti, membina klinik dan hospital bagi rakyat Malaysia serta bukan untuk membayar penjahat dan kleptokrat," kata Lim.


Tiada ulasan: