Jumaat, 30 November 2018

Badan pensijilan sawit dakwa FGV amal buruh paksa

MALAYSIAKINI



   

Badan pensijilan bagi industri minyak sawit mendakwa FGV Holdings Bhd  menjalankan buruh paksa dan amalan tidak beretika lain yang disifatkannya sebagai bercanggah dengan undang-undang buruh Malaysia dan antarabangsa.

Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dalam surat terbarunya kepada FGV menyatakan bahawa, siasatan mereka yang melibatkan pengesahan melalui lawatan pada 26 hingga 28 April lalu ke beberapa ladang dan kilang FGV mendapati syarikat itu mengamalkan buruh paksa, selain tindakan "pemerdagangan orang".

Siasatan RSPO berpunca dari aduan yang difailkan oleh Wall Street Journal (WSJ) pada 2015 yang menerbitkan laporan pada tahun sama berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang di ladang-ladang sawit di Malaysia.

RSPO turut menyatakan bahawa dari laporan pengesahan bebas dan ulasan yang didapati daripada FGV, syarikat sawit Malaysia itu perlu segera melakukan semakan audit perundangan dan operasi berhubung amalan pengambilan pekerja bagi menyingkirkan unsur buruh paksa yang bercanggah dengan undang-undang tempatan dan antarabangsa.

"Penemuan Panel Aduan RSPO seperti berikut [....] FGV melalui perjanjian bertulis membekalkan pekerja asing kepada kontraktor FGV yang melanggar undang-undang Malaysia dan ini boleh dianggap sebagai tindakan pemerdagangan orang.

"Proses pengambilan pekerja FGV perlu ditambah baik kerana ada unsur buruh paksa yang melanggar prinsip dan kriteria RSPO 6.12 termasuk isu berhubung penggantian kontrak, kebebasan kontrak dan berhenti kerja, pasport, tempoh pengekalan bekerja dan kebebasan bergerak, serta keadaan bekerja dan tempat tinggal pekerja.

"Kegagalan FGV mengawal dan menyelia kontraktor FGV, termasuk pekerja kontraknya, memburukkan lagi pelanggaran undang-undang di atas, serta menggalakkan amalan pengambilan pekerja yang tidak beretika [...]," kata RSPO dalam surat bertarikh 28 Nov.

Antara pelanggaran undang-undang yang disenaraikan RSPO termasuk dakwaan FGV gagal memperincikan dalam kontrak pengambilan pekerja berhubung bayaran dan persekitaran kerja yang perlu dibincangkan dengan pekerja, termasuk yang diambil bekerja oleh kontraktor FGV.

Pekerja juga didakwa tidak diberi hak untuk menamatkan kontrak bekerja mereka, selain "amalan berunsur diskriminasi" antara pekerja tempatan dan pekerja asing yang menurut RSPO dinafikan oleh FGV.

Selain itu, RSPO menyatakan bahawa dari penemuan mereka menunjukkan meskipun FGV
menyediakan bekalan air dan elektrik serta membuat pemeriksaan kesihatan bagi pembaharuan kontrak pekerja, FGV tidak mematuhi kriteria peruntukan air dan elektrik serta pemeriksaan kesihatan.

FGV juga didakwa gagal menunjukkan bahawa dakwaan pengambilan pekerja haram atau tanpa dokumentasi sah yang dilaporkan WSJ pada 2015 - yang telah diakui sendiri oleh kontraktor FGV ketika diwawancara RSPO - sudah ditangani dan diperbaiki di semua ladang,

Susulan itu, surat itu menyatakan bahawa sekretariat RSPO mengarahkan sijil salah satu kilang FGV di Negeri Sembilan digantung.

Penggantungan itu akan dimansuhkan sekiranya FGV mematuhi kriteria RSPO termasuklah semakan audit dan perundangan, selain mengemukakan rancangan bagi menangani isu yang disebutkan.

Sekiranya gagal, RSPO akan mengenakan sekatan, meskipun badan pensijilan itu tidak menyebutkan secara spesifik sekatan berkenaan.

Malaysiakini sudah menghubungi FGV dan dimaklumkan bahawa pihak FGV akan mengeluarkan kenyataan balas hari ini.

Tiada ulasan: