Ahad, 11 November 2018

Anwar kecam tindakan 'gopoh' punca pegawai pemilihan PKR ditahan

MALAYAIAKINI

   

PEMILIHAN PKR | Presiden PKR Anwar Ibrahim mengecam tindakan "gopoh" yang menyebabkan penahanan pegawai pemilihan PKR berhubung dakwaan "serangan siber" pada pemilihan di Julau, semalam.

Dipercayai seorang pemimpin PKR membuat laporan polis susulan dakwaan yang dibuat calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli bahawa pegawai berkenaan "mengusik" tablet yang digunakan untuk sistem e-undi di Julau.

"Satu lagi contoh kegopohan yang mengenepikan fakta," kata Anwar berhubung penahanan itu dalam mesej teks peribadi kepada pemimpin PKR.

Malaysiakini sudah mendapat pengesahan kesahihan mesej teks berkenaan.

Menurut Anwar, laporan itu membawa kepada penahanan pegawai ibu pejabat PKR oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tambah Anwar, jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR sudah membuat laporan polis sendiri berhubung insiden di Julau itu.

"Kenyataan saya di media sebentar tadi adalah untuk memohon agar pemimpin dan aktivis parti tenang dan menerima keputusan sebaiknya.

"Siasatan boleh diteruskan oleh pihak Ppolis, SPRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM))," kata Anwar lagi dalam mesejnya.

Kenyataan yang dimaksudkan Anwar adalah yang dibuat pada sidang media di Port Dickson, seperti dilapor Bernama.

Dalam kenyataan itu, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak boleh masuk campur dalam pemilihan parti.

"Ramai yang minta saya campur tangan, tapi saya tidak boleh. Ini yang tidak difahami, termasuk oleh media.

"Saya tidak boleh masuk campur dalam pemilihan selain memastikan tiada penipuan, ugutan, dan saya menggesa jawatankuasa pemilihan melantik pihak yang benar-benar bersih dan tidah berpihak," katanya dipetik sebagai berkata.

Semalam, Rafizi mendakwa perisian dengan nama 'Prey' dipasang pada tablet e-undi di Julau
merupakan 'malware'.

Susulan itu, JPP menggantung keputusan pemilihan dengan mendakwa berlaku "serangan siber".

Penyandang ketua cabang Julau, Semana Sawang bagaimanapun menafikan dakwaan Rafizi.

Penulis teknologi, Keith Rozario turut menafikan dakwaan yang mengatakan perisian itu sebagai 'malware'.

Berdasarkan semakan di web perisian itu, Prey merupakan perisian antikecurian bagi mengesan peranti yang hilang atau dicuri, namun ia juga boleh digunakan bagi "memadam data" pada peranti berkenaan.

Tiada ulasan: