Rabu, 21 November 2018

Akta MKN hanya dipinda, tidak dimansuh

MALAYSIAKINI

   
Putrajaya tidak akan memansuhkan Akta Majlis Keselamatan Negara walaupun Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk memansuhkan akta tersebut sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-14, kerana disifatkan sebagai akta yang zalim.

Sebaliknya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata ia hanya akan dipinda bersama beberapa jabatan penting dalam kerajaan.

"Kerajaan telah meneliti secara terperinci Akta MKN 2016 (Akta 776) dan memutuskan supaya ia hanya dipinda dan tidak dimansuhkan.

"Proses pindaan tersebut sedang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri bersama Jabatan Peguam Negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dari ahli parlimen Bukit Gelugor (DAP) Ramkarpal Singh yang meminta perdana menteri mengatakan status kajian semula MKN 2016 oleh kerajaan iaitu sama ada akta tersebut akan dimansuhkan sepenuhnya atau dipinda.

Pada Julai, Perdana Menteri Dr Mahathir mohamad berkata, Akta MKN 2016 adalah antara undang-undang yang sedang dikaji oleh kerajaan untuk dipinda atau dimansuhkan.

Dr Mahathir berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang mengatakan akta tersebut mungkin akan dikekalkan walaupun Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji untuk menghapuskannya jika menang dalam PRU14 lalu.

Akta tersebut mencetuskan ketidakpuasan hati di kalangan orang ramai kerana ia memberikan perdana menteri kuasa untuk mengisytiharkan darurat negara.

Peguam Negara ketika itu Mohamed Apandi Ali ketika memberi penjelasan mengenai Akta MKN, beliau berkata Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai budi bicara untuk mengisytiharkan darurat secara peribadi tetapi harus bertindak atas nasihat kerajaan.

 
 
 

Tiada ulasan: