Ahad, 18 November 2018

Agenda baharu nafikan Islam dan hak Bumi

IZWAN ABDUL HALIM

KUALA LUMPUR: Hubungan agama, bangsa dan tanah air sama sekali tidak boleh dipisahkan, bahkan dengan kepentingan bersama dan sejarah telah menyatukan PAS dan Umno.
 
Demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Himpunan Perpaduan Ummah di Pekan Kampung Gajah, Pasir Salak, malam tadi.
 
Katanya, sesiapa sahaja boleh berbeza pendapat dan berkelahi, tetapi jangan melampau dan bersikap sedemikian sepanjang masa hingga akhirnya menjadi musnah sama sekali.
 
Imbas beliau, PAS dan Umno telah bersama sejak memulakan perjuangan kemerdekaan berhimpun di Melaka untuk menghantar rombongan menuntut kemerdekaan tanah air.
 
"Walaupun kita berbeza pandangan, selepas mencapai kemerdekaan berbeza pendekatan. Bila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, Umno dan PAS bersatu. Walaupun kita berpisah selepas itu.
 
"Hari ini kita hadapi cabaran oleh kalangan yang tidak faham makna kemerdekaan. Bagaimana perjuangan mereka yang dahulu, bukan sahaja Umno dan PAS, termasuk MCA, MIC.
 
"Sama-sama memperjuangkan kemerdekaan dan menghasilkan Perlembagaan. Kontrak Sosial yang menyatukan umat," ujar beliau penuh semangat.
 
Menurutnya, penyataan bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain diberi kebebasan dan hak merupakan asas yang mencukupi terdapat dalam Perlembagaan tersebut.
 
Tetapi katanya, mereka yang setahun jagung dan lahir kemudian itu telah membawa masuk ICERD dan menuduh penentangnya sebagai tidak faham termasuk kepada bekas Ketua Hakim Negara.
 
Hakikatnya ujar beliau, perjuangan pihak tersebut kononnya untuk keadilan dan persamaan adalah perkara berbeza yang tidak difahami mereka, sebaliknya terikut takrifan Barat.
 
Mengemukakan realiti negara, beliau menyeru untuk menyedari betapa orang Islam dan Bumiputera masih ketinggalan walaupun jumlahnya majoriti dalam negara ini.
 
"Kaum lain yang diterima jadi rakyat, jumlahnya tak besar. Sengaja disusun oleh British zaman itu. Diletak di bandar kawasan perdagangan, lombong (untuk mereka itu) menjadikan mereka menguasai ekonomi.
 
"Orang Melayu dan Bumiputera (letak) kawasan pedalaman, menjadikan penguasaan ekonomi tidak sama rata. Ini patutnya perlu selesai dahulu.
 
"Tiba-tiba atas nama persamaan, mereka pandai-pandai nak bawa masuk agenda baru yang boleh menafikan Islam dan hak Bumiputera," bidasnya. 
 
Semangat Pasir Salak 
 
Menurut Tuan Guru, himpunan malam itu juga dipilih Pasir Salak kerana sejarah kebangkitan Islam yang pertama di tanah air menentang Perjanjian Pangkor.
 
Perjanjian itu tempelaknya, menipu rakyat dan umat Islam serta Raja-raja Melayu hingga semua bangkit menentang termasuk kalangan ulamak hingga Sultan dibuang negeri dan Mufti Dato' Maharaja Lela dihukum gantung.
 
Katanya, status Dato' Maharaja Lela sebagai Mufti dipadamkan sejarah British sebaliknya disebut sebagai penjahat, selain turut menentang adalah Dato' Sagor.
 
"Ketahuilah kaum-kaum lain yang ada di Malaysia ini bahawa yang memulakan perjuangan menentang penjajah ialah umat Islam dan Bumiputera. Mereka (kaum lain itu) datang kemudian.
 
"Sejak kedatangan Portugis 1511, kami orang Islam Bumiputera, Raja-raja dan pemimpin menentang penjajah. Kamu tak ada lagi masa itu. Kita yang awal-awal menentang penjajah ini.
 
"Jangan tidak hormat jasa dan budi kita yang kita beri kepada semua kaum," tegas beliau melontarkan ingatan dan mengingatkan semua kaum harus hidup sebagai satu keluarga. 
 
Jangan ganggu kaum lain 
 
Beliau mengajak melihat kehidupan sedemikian sebagaimana dipraktikkan dalam ajaran Islam di Kelantan, Terengganu dan Kedah di mana kaum lain tidak diganggu dalam perkampungan majoriti Melayu.
 
Hatta peringatnya, anjing sekampung biarpun berkelahi, apabila diganggu akan bersatu, namun menegaskan bahawa orang Melayu Bumiputera bukan anjing untuk diganggu.
 
Beliau menyeru agar rakan-rakan dari masyarakat bukan Islam Melayu tidak dirosakkan oleh nila setitik dan menyedari hakikat bahawa negara ini terdiri daripada majoriti Melayu Bumiputera.

Beliau turut menginsafkan kesedaran hadirin terhadap kedudukan majoriti Melayu Islam di negara ini telah dipimpin golongan minoriti berpunca daripada tidak memahami politik. - HARAKAHDAILY

 

Tiada ulasan: