Ahad, 28 Oktober 2018

‘Tok Pa masuk Bersatu nak kejar kepentingan peribadi’

siti hafidah 

Ahli Parlimen Jeli bukan pejuang sejati: Ketua UMNO Tanjung Piai



PONTIAN – Tindakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya kerana mahu mengejar kepentingan peribadi, kata Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan.

Beliau berkata, tindakan Mustapa atau Tok Pa yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu bukan pejuang sejati kerana tidak bersama rakan-rakan dalam kesusahan.

Katanya, UMNO berpegang kepada prinsip kesetiaan ahli kepada parti tidak kira ketika susah atau senang.

“Tok Pa cakap UMNO sudah tidak sehaluan dan tidak boleh dipercayai. Jadi timbul persoalan, kenapa Tok Pa boleh bertahan berpuluh tahun dalam parti UMNO ini?,” katanya ketika ditemui pada Majlis Khidmat Masyarakat Kampung Rimba Terjun di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai situasi politik UMNO kini, Jefridin mengakui keadaannya kini cukup mencabar apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri membuat gesaan terhadap ahli UMNO supaya menyertai Bersatu.

Sebelum ini, Mustapa mengumumkan keluar daripada UMNO, selepas menyedari usaha memulihkan imej parti semakin sukar, selain bertentangan dengan prinsip perjuangannya selama 40 tahun.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas kemudiannya mengumumkan masuk Bersatu secara sukarela, kerana yakin parti itu mampu memberinya peranan lebih besar membela kepentingan kawasannya di Jeli khususnya, dan Kelantan secara menyeluruh.


Tiada ulasan: