Isnin, 15 Oktober 2018

Thailand antara negara rekod kehilangan pasport Malaysia tertinggi

THE MALAYSIAN TIMES
 


BANGKOK: Thailand antara negara yang merekodkan kehilangan pasport Malaysia paling tinggi dengan 90 peratus kehilangan dokumen itu dilaporkan berlaku di kawasan beli-belah utama di sekitar bandar raya ini.

Tahun lepas, sebanyak 124 pasport Malaysia dilaporkan hilang di negara ini manakala bagi tahun ini sehingga September lalu pihak Kedutaan Malaysia di sini menerima laporan 87 keping dokumen tersebut hilang daripada simpanan pemiliknya.

“Kebanyakan kehilangan pasport negara ini berlaku di Pratunam, sebuah kawasan beli-belah terbuka yang terkenal di tengah-tengah kota Bangkok. Kehilangan (pasport) juga berlaku di Chatuchak (pasar mingguan terkenal),” demikian menurut sumber kedutaan kepada Bernama baru-baru ini.

Sumber yang memohon identitinya tidak didedahkan atas faktor bidang kuasa, berkata punca utama kehilangan pasport ialah kecuaian pemegang sendiri yang kadangkala terlalu leka membeli-belah sehingga tidak sedar dokumen itu hilang.

“Kerap kali rakyat Malaysia itu sendiri tidak menganggap pasport mereka sebagai dokumen yang amat penting dan oleh itu tidak menjaganya dengan baik. Mereka meletakkan pasport di tempat yang mudah tercicir atau mudah dicuri,” katanya.

Thailand merupakan antara destinasi pelancongan utama rakyat Malaysia dengan 3.3 juta melawat negara ini tahun lepas menurut Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand.

Malah, rakyat Malaysia merupakan kumpulan pelancong asing kedua terbesar melawat Thailand selepas China yang menyumbang lebih sembilan juta pelawat tahun lalu.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata rakyat Malaysia perlu dididik untuk melihat pasport sebagai ‘nyawa kedua’ mereka setiap kali berada di luar negara.—Bernama

Tiada ulasan: